X

Kindly register in order to view this article
!

Pembantu kedai parah diserang dua lelaki bersenjatakan parang

Mangsa diserang dua lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berada di kafe milik ibunya. (Gambar kecil: Soffian Santong)
A
A

GEORGETOWN - Seorang pembantu kedai cedera parah selepas diserang dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kafe di Jelutong, di sini pada jam 10.39 pagi, Selasa.

Mangsa yang berusia 20 tahun itu juga mengalami putus saraf dan salur darah akibat terkena benda tajam di bahagian tapak tangan kiri dan kedua lutut kaki selain luka di kepala.

Bagaimanapun mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa yang berasal dari Jalan Van Praagh, Jelutong itu sedang bekerja di kafe milik ibunya itu ketika didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dan bersenjatakan parang.

Tambahnya, daripada keterangan rakannya, mangsa diserang kerana masalah hutang dan dia menjadi orang tengah kepada rakannya yang meminjam wang daripada individu lain dalam urusan permainan judi kasino tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, rakan mangsa telah melarikan diri menyebabkan mangsa sering didatangi lelaki yang menagih hutang rakannya itu.

"Serangan pada semalam bukan kali pertama kerana mangsa mendakwa, dia didatangi empat lelaki untuk menagih hutang dua bulan lalu. Ketika itu mangsa tidak dicederakan selepas memberitahu bahawa rakannya itu telah melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Soffian berkata, suspek telah memberitahu mangsa bahawa rakannya telah berhutang sebanyak RM60,000 dengan seorang individu.

"Ketika kejadian, mangsa seorang diri manakala ibunya berada di belakang kafe. Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan suspek terus melarikan diri. Mangsa tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada senjata ditemui dan premis itu juga tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan menggunakan senjata," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!