Saksi kemalangan diminta tampil bantu siasatan polis

Lokasi kemalangan maut Jumaat lalu
Lokasi kemalangan maut Jumaat lalu
A
A
A

SEPANG - Orang awam yang melihat kejadian kemalangan maut melibatkan empat buah kereta di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) - Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) KM 28.3 Jumaat lalu diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan polis.

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, seorang penunggang motosikal maut dan sebuah kenderaan telah lari meninggalkan lokasi kejadian disyaki Perodua Myvi nombor pendaftaran tidak pasti.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu dari arah Puchong menghala ke Kajang telah dilanggar oleh Perodua Myvi menyebabkan Perodua Bezza hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri.

"Pada masa sama sebuah motosikal yang berada dibelakang Perdua Bezza tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan tersebut. Kemudian datang sebuah motosikal lain juga turut terlanggar Perodua Bezza.

"Salah seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Serdang. Saksi kemalangan dicari bagi membantu siasatan.

"Saksi boleh menghubungi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang di 03-87774264. Selain itu mereka juga boleh hadir terus Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang untuk berjumpa dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Erma Amera Ahmad Saufy," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, mangsa yang maut merupakan seorang pekerja swasta Roshazmi Abdul Hamid, 33 tahun.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: