Dua lelaki ditahan bergaduh luar restoran

Kejadian yang tular di media sosial membabitkan pergaduhan dua lelaki kini sedang disiasat polis.
Kejadian yang tular di media sosial membabitkan pergaduhan dua lelaki kini sedang disiasat polis.
A
A
A

IPOH - Dua lelaki ditahan selepas video pergaduhan mereka di luar sebuah restoran, di sini tular pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan satu laporan polis juga diterima sejurus kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 160/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan provokasi di antara pemilik restoran dan pelanggan berkaitan isu pembayaran makanan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Sementara itu, A Asmadi berkata, pihak polis turut membuat laporan polis ke atas seorang pemilik akaun Twitter kononnya anggota yang berada di lokasi kejadian tidak mengambil tindakan.

Katanya, semakan pihak polis mendapati individu yang berpakaian uniform berwarna gelap di dalam video itu bukanlah anggota polis tetapi sebenarnya merupakan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan.

"Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pusat Ipoh mengenai perkara yang tular tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Dengan ini, PDRM ingin menasihatkan orang awam agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, satu video berdurasi 1:36 tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dipercayai penghantar makanan diserang seorang lelaki lain yang datang dari arah sebuah restoran di sini.