Tempahan baju raya merosot 65 peratus

Rofiah mengakui tertekan dan hampir putus asa kerana tempahan tidak semeriah dahulu.
Rofiah mengakui tertekan dan hampir putus asa kerana tempahan tidak semeriah dahulu.
A
A
A

KUANTAN - Bulan Ramadan lazimnya tukang jahit tidak cukup tangan bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk bergaya pada pagi Syawal bersama ahli keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, kesan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara telah menyebabkan tempahan baju raya pada tahun ini merosot hampir 65 peratus.

Tukang jahit di Pasar Besar Kuantan, Rofiah Mat Ali, 60, berkata, pengurangan tempahan baju raya turut memberi tekanan kepada kelangsungan hidupnya kerana kerja-kerja menjahit adalah satu-satunya sumber pendapatannya.

Menurutnya, sebelum ini setiap kali Ramadan tempahan diterima mencecah 200 pasang, namun suasana kini cukup berbeza apabila buat pertama kalinya menyambut bulan puasa tanpa ditemani kain yang bertimbun.

Rofiah
Rofiah

"Saya sedikit tertekan dengan keadaan ini dan hampir putus asa apabila tempahan baju raya tidak banyak macam dulu. Saya masih banyak komitmen lain yang perlu dibayar seperti sewa kedai, bil utiliti dan sebagainya, namun saya terpaksa reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

"Kalau dua tahun lalu meriah, saya pernah menerima tempahan baju lebih 200 pasang, tapi kini saya hanya terima tempahan sekitar 35 peratus iaitu antara 60 hingga 70 helai, " katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Ibu kepada enam anak itu berkata, pendapatannya semakin merudum kerana kurang menerima tempahan, namun bersyukur masih ada pelanggan yang ingin mendapat khidmat jahitannya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada ketikanya, dia langsung tidak memperoleh sebarang pendapatan meskipun kedai jahit miliknya beroperasi seperti biasa.

Rofiah tekun menyiapkan tembahan baju pelanggan di kedai jahitnya di Pasar Kuantan pada Isnin.
Rofiah tekun menyiapkan tembahan baju pelanggan di kedai jahitnya di Pasar Kuantan pada Isnin.

"Terus terang saya cakap pernah tidak mendapat apa-apa wang untuk dibawa balik kerana ketiadaan pelanggan.

"Itu paling sedih untuk saya kenang, tetapi mahu atau tidak, saya perlu cekal kerana ini adalah satu-satunya pekerjaan yang saya ada," ujarnya yang sudah berkecimpung dalam bidang jahitan lebih 40 tahun.

Rofiah mengakui sangat merindui kesibukan menyiapkan tempahan baju raya bersama pembantunya seperti sebelum ini.

"Kebiasaannya pada waktu begini saya sibuk menyiapkan tempahan baju raya bersama, tetapi sekarang 'mood' menyambut lebaran juga tidak ada," katanya.