1,577 warga emas, OKU terima vaksin Covid-19 fasa kedua

Seorang petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada seorang warga emas yang dipilih untuk menerima vaksin pada Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.
Seorang petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada seorang warga emas yang dipilih untuk menerima vaksin pada Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 1,577 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan menerima vaksin Covid-19 fasa kedua dalam tempoh empat hari terawal bermula Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup, Sultan Abdul Halim di sini.

Pegawai Daerah Kota Setar merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, keseluruhannya terdapat empat PPV di daerah ini yang mana tiga lagi pusat akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat menjelang fasa ketiga nanti.

Katanya, persediaan rapi telah dibuat di stadium berkenaan dari segi logistik bagi melancarkan suntikan vaksin jenis Pfizer pada Isnin.

"Kita juga dibantu dengan kekuatan petugas seramai 84 orang yang terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (57), Jabatan Sukarelawan Malaysia (10), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10) dan tujuh orang belia.

"Saya harap pemberian vaksin pada hari ini berjalan lancar dan apa yang berlaku pada hari ini akan dijadikan panduan untuk kita menghadapi hari seterusnya," katanya ketika membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup,Sultan Abdul Halim di sini pada Isnin.

Penerima yang selesai disuntik dipantau sebelum dibenarkan pulang
Penerima yang selesai disuntik dipantau sebelum dibenarkan pulang

Menurutnya, setakat ini, lebih 30 peratus penduduk Kota Setar berumur 18 tahun ke atas telah pun mendaftar bagi menerima vaksin Covid-19.

"Kita turut membuat hebahan untuk menggalakkan pendaftaran vaksin termasuk turun ke kawasan kampung melakukan kempen.

Artikel Berkaitan:

"Kesedaran dalam kalangan penduduk kampung masih rendah, ada yang masih tiada aplikasi MySejahtera jadi kita bersama Jabatan Penerangan turun membantu mereka mendaftar secara manual untuk dapatkan suntikan ini," katanya

Sementara itu, seorang pesara, Abdul Razak Othman, 84, berkata, beliau teruja untuk menerima suntikan vaksin berkenaan malah meminta anaknya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Pak cik tak rasa takut nak cucuk, dalam rumah pak cik semua dah daftar vaksin. Kita ikut seruan kerajaan untuk sama-sama hindarkan diri daripada pandemik Covid-19," katanya yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung.

Seorang lagi penerima, Azizah Lat, 85, berkata, dia tidak berasa sakit atau lenguh-lenguh selepas menerima suntikan terbabit.

Azizah (kanan) ditemani cucunya hadir menerima suntikan vaksin pada Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup,Sultan Abdul Halim di sini.
Azizah (kanan) ditemani cucunya hadir menerima suntikan vaksin pada Isnin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Tertutup,Sultan Abdul Halim di sini.

"Saya mai suntik hari ini ditemani cucu, cucu saya jururawat, jadi boleh la dia pantau kesihatan saya di rumah selepas ambil suntikan ini.

"Alhamdulillah setakat ini tak ada rasa sakit atau lenguh-lenguh, rasa macam kena suntik biasa sahaja," katanya yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.