Harga ayam: KPDNHEP keluar 40 notis kepada pengeluar, pemborong

Azman ketika tinjauan harga dan bekalan ayam di Pasaraya Lotus di Tanjung Pinang, Georgetown pada Ahad.
Azman ketika tinjauan harga dan bekalan ayam di Pasaraya Lotus di Tanjung Pinang, Georgetown pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 40 notis kepada pengeluar dan pemborong ayam di seluruh negara berikutan aduan mengenai kenaikan harga ayam segar di pasaran.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16 notis dikeluarkan kepada pengeluar, manakala 24 notis kepada pemborong bagi membolehkan mereka menyediakan maklumat mengenai harga bahan mentah itu.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat tersebut sebelum memutuskan kesalahan yang dilakukan pemborong, pengeluar dan peruncit mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Siasatan awal mendapati kenaikan harga ini berlaku kerana harga makanan ayam yang diimport dari Argentina dan Brazil telah naik. Ia memberi kesan kepada harga ayam segar di negara ini. Bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan KPDNHEP.

"Notis yang dikeluarkan itu bagi membolehkan KPDNHEP mendapatkan maklumat kenaikan harga selain mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga ayam dan bahan mentah di Pasaraya Lotus di Tanjung Pinang di sini pada Ahad.

Azman berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 15 aduan mengenai kenaikan harga ayam.

"Oleh kerana sudah ada aduan, KPDNHEP telah menubuhkan pasukan khas (task force) bagi menangani isu harga ayam ini. Pasukan ini akan memberi tumpuan di semua peringkat iaitu pengeluar, pemborong dan peniaga.

"Tahun lalu apabila harga makanan ayam import naik, kita dapati 70 peratus komponen harga adalah melibatkan kos makanan ayam. Jika kenaikan harga ayam berlaku di peringkat kos, ia tidak menjadikan berlakunya pencatutan harga.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun jika ada peniaga, pemborong atau pengeluar yang menaikkan harga melebihi kos makanan ayam, maka tindakan akan diambil. Kita akan siasat perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Harga ayam di seluruh negara ketika ini meningkat sehingga mencecah RM10.50 dan dijangka meningkat sehingga RM12 menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan ayam segar sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, Azman berkata, pihak kementerian dimaklumkan bahawa bekalan mencukupi.

"Walaupun permintaan tinggi bagi ayam segar dan daging, kita dimaklumkan bekalan untuk dua bahan mentah tersebut mencukupi.

"Pengguna tidak perlu bimbang, bagaimanapun, perlu bijak untuk membuat perbandingan harga selain dinasihatkan membeli barangan keperluan secara berhemah," katanya.

.