X

Kindly register in order to view this article
!

Roziana menunjukkan perut suaminya yang ditebuk untuk saluran wayar bagi rawatan dialisis.
A
A

SHAH ALAM - Lebih 100 buah rumah rosak dibadai ribut di Ipoh, Perak, seorang penghantar makanan maut dihempap pokok semasa hujan lebat di Kuala Lumpur dan dua peniaga bazar di Langkawi, Kedah rugi RM40,000 selepas khemah jualan terbakar adalah antara ujian pada minggu pertama Ramadan tahun ini.

Ramadan sering datang dengan pelbagai ujian, daripada masalah kesihatan, ujian kewangan, hilang pekerja sehinggalah tragedi yang meragut.

Walaupun musibah seperti itu berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa, tetapi keperitannya lebih dirasai pada bulan puasa lebih-lebih lagi ketika hari raya semakin hampir.

Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Antara individu yang hebat diuji ialah seorang isteri yang sudah tiga tahun menjaga suaminya yang terlantar akibat strok di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.

Roziana Mohamad, 41, berkata, tahap kesihatan suaminya, Saudi Ismail, 53, yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik bertambah buruk sehingga tidak mampu lagi bekerja.

Sejak itu, Roziana berkata, keluarganya hilang tempat bergantung dan hanya berharap kepada wang ihsan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin setempat.

Menurut Roziana, keadaan menjadi semakin sukar apabila dia juga tidak boleh keluar bekerja kerana perlu memberi tumpuan menguruskan suami dan anak-anak yang masih bersekolah.

Roziana (dua dari kiri) bersama suami dan anak-anak di kediaman mereka di kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Roziana (dua dari kiri) bersama suami dan anak-anak di kediaman mereka di kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Selain mengalami strok pada sebelah kanan badan, suami saya juga ada komplikasi penyakit lain iaitu buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan masalah penglihatan kabur.

“Bahagian perut suami saya juga ditebuk bagi saluran wayar untuk membolehkan proses dialisis dilakukan di rumah,” kata Roziana.

Bercerita lanjut, Roziana berkata, keperluan bagi rawatan dialisis suaminya dibekalkan pihak hospital manakala dia hanya perlu membelanjakan sekitar RM600 sebulan untuk keperluan perubatan lain.

Ujarnya, selain rawatan di rumah, suaminya juga perlu berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setiap tiga bulan sekali.

“Perbelanjaan keperluan dan makanan kami sekeluarga perlu dicatu kerana kalau nak ikutkan bantuan bulanan JKM tidak dapat tampung semua perbelanjaan.

“Begitu juga dengan persiapan Ramadan dan Aidilfitri, kami sekeluarga membuat persiapan ala kadar setakat termampu. Mujurlah anak-anak memahami dan tidak minta yang bukan-bukan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu mempunyai lima cahaya mata iaitu Muhammad Saifuddin, 19; Siti Najwa, 16; Siti Nor Idayu, 14; Muhammad Syawal Fitri, 11 dan Muhammad Ramadhan Muslim, 8.

Jelas Roziana, empat anaknya masih bersekolah di SMK Tengku Bariah dan SK Pasir Panjang manakala anak sulungnya yang berusia 19 tahun belajar di Giat Mara Bukit Payong.

Katanya, dia banyak bergantung harap kepada anak sulungnya terutama untuk menghantar dan mengambil adik-adik di sekolah.

“Anak sulung saya banyak membantu dan berkorban. Selepas SPM dia ada terima tawaran belajar di Selangor namun ditolak kerana memikirkan kesukaran untuk saya menjaga bapa mereka dan adik-adiknya seorang diri.

“Saya terpaksa akur dan berharap dia boleh pergi lebih jauh serta dapat mencari pengalaman bekerja untuk membantu adik-adik yang masih bersekolah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!