Hari pertama operasi Bazar Aidilfitri Lorong TAR lengang

Keadaan Bazar Aidilfitri Lorong TAR di Kuala Lumpur ketika hari pertama beroperasi pada Sabtu.
Keadaan Bazar Aidilfitri Lorong TAR di Kuala Lumpur ketika hari pertama beroperasi pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini pada Sabtu kurang mendapat sambutan apabila kawasan berkenaan lengang daripada pengunjung.

Salah seorang peniaga, Azman Usman, 26, berkata, ketiadaan pengunjung agak membimbangkannya apabila sehingga jam 2 petang, belum ada satu pun barangan yang terjual di gerainya.

Dia yang telah tiga tahun berniaga di Bazar Aidilfitri mendapati penganjuran bazar pada musim Covid-19 ini kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Biasanya pada waktu-waktu begini, orang telah ramai yang kebanyakan adalah pelancong dari Sabah dan Sarawak, namun disebabkan sekatan rentas negeri mungkin antara faktor bazar ini kurang dikunjungi.

"Kalau nak harapkan pembeli dari Kuala Lumpur, hanya akan meriah apabila hujung Ramadan nanti.

"Tambah-tambah lagi dengan kawalan keluar masuk ketat di pintu masuk dan sistem sehala di setiap bahagian, lagilah orang malas nak masuk semua seksyen," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan pada Sabtu.

Suasana Bazar Aidilfitri di Lorong TAR, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Suasana Bazar Aidilfitri di Lorong TAR, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tinjauan di lokasi mendapati kebanyakan peniaga dilihat sibuk menyusun jualan pada hari pertama pembukaan bazar.

Artikel Berkaitan:

Kesemua peniaga dipecahkan kepada empat kumpulan mengikut seksyen A, B, C dan D yang setiap satunya diletakkan dua petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkawal di pintu masuk.

Pengunjung yang memasuki setiap setiap seksyen perlu membuat pendaftaran MySejahtera dan imbasan suhu sebelum diberikan pas yang dihadkan kepada 100 orang dalam satu masa.

Seorang lagi peniaga, Masnurohani Sudirman, 29, berkata, dia berharap pengurusan bazar dapat membuat susunan semula pintu masuk dan keluar bagi membolehkan pengunjung pergi ke seksyen seterusnya tanpa perlu berpusing atau berjalan jauh.

"Saya harap DBKL boleh bertolak ansur dengan peniaga dan memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah akses keluar masuk ini," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Shahwady Juwal, 35, berpendapat, sekatan melalui pintu masuk yang disediakan adalah perlu bagi memudahkan urus setia mengawal jumlah pengunjung.

Peniaga sedang membuat persiapan pada hari pertama Bazar Aidilfitri Lorong TAR di Kuala Lumpur beroperasi pada Sabtu.
Peniaga sedang membuat persiapan pada hari pertama Bazar Aidilfitri Lorong TAR di Kuala Lumpur beroperasi pada Sabtu.

"Apabila tidak terlalu ramai pengunjung dalam satu masa, pastinya saya sebagai pengguna rasa selamat dan ia juga dapat mengelak penularan Covid-19.

"Cuma saya cadangkan supaya susunan peniaga diasingkan mengikut jenis jualan. Contohnya makanan untuk satu bahagian dan pakaian di bahagian lain bagi memudahkan pelanggan mencari barang diperlukan," katanya.

Sebanyak 208 penjaja akan berniaga di Lorong TAR dari kawasan belakang bangunan Kompleks Campbell sehingga ke susur keluar persimpangan Masjid India mulai Sabtu sehingga 12 Mei depan.

Tempoh operasi bazar adalah dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL.