Ops Pelican 3.0 ikut SOP PDRM, undang-undang: Ayob Khan

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Serbuan yang dilakukan di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor dalam Ops Pelican 3.0 dengan menyasarkan kumpulan jenayah terancang, ‘Geng Nicky’ baru-baru ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dan penggeledahan itu juga mematuhi peruntukan undang-undang, sebagaimana Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Menurutnya, operasi khas itu dilakukan pada 20 dan 21 Mac lalu oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang disertai seramai 220 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan IPK Johor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4, Cheras Kuala Lumpur.

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 70 serbuan dijalankan bagi menangkap dan mengesan anggota kumpulan serta ketua kumpulan ‘Geng Nicky’ iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang juga pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong.

“Sebanyak 45 dari 70 serbuan yang dilaksanakan melibatkan unit-unit kondominium di Trigon Residence Setiawalk, Puchong dan dalam serbuan tersebut, beberapa unit kondominium telah dimasuki dengan cara memecahkan tombol pintu dan digeledah.

“Penggeledahan unit-unit tersebut dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab yang munasabah bagi mengesyaki suspek bersembunyi dan dokumen serta harta-harta terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, bagi menjawab luahan penduduk Trigon Residence Setiawalk berkaitan kerosakan kediaman mereka semasa serbuan oleh pihak polis di media-media utama.

Semalam, media mengeluarkan luahan kira-kira 10 pemilik kediaman di Trigon Residence Setiawalk yang terkilan dengan tindakan polis yang didakwa telah merosakkan pintu kediaman mereka dalam operasi khas itu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, rata-rata pemilik rumah memaklumkan mereka tidak tinggal di situ, sebaliknya disewakan kepada individu lain dan kebanyakan penyewa tiada di rumah kerana keluar bekerja dan hanya menyedari pintu kediaman pecah serta rosak sebaik tiba di kediaman masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket jenayah terancang Geng Nicky lumpuh

14 termasuk dua adik Nicky didakwa terbabit jenayah terancang

Ada pegawai bocor maklumat, 'lindungi' Nicky Liow: KPN