PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online

Polis siasat video iklan raya yang mempromosikan perjudian online.
Polis siasat video iklan raya yang mempromosikan perjudian online.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan isi kandungan iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mempromosikan perjudian online jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video terbabit.

"Siasatan polis akan menjurus kepada penerbit, pelakon-pelakon yang terlibat di dalam video itu.

"Mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran awam.

Terdahulu, iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Artikel Berkaitan:

Iklan ini bukan sahaja mengejutkan banyak pihak tetapi mengundang kecaman netizen serta menarik perhatian ahli politik apabila hari istimewa umat Islam itu dijadikan sebagai modal iklan syarikat perjudian.