AS kenakan sekatan, usir diplomat Rusia

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengenakan sekatan terhadap Rusia dan mengusir 10 diplomat negara itu sebagai tindak balas terhadap tuduhan campur tangan pilihan raya dan kegiatan siber, lapor Xinhua.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Presiden Joe Biden telah menandatangani perintah eksekutif sekatan baharu terhadap Rusia.

Menurut perintah itu, Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan arahan melarang institusi kewangan AS mengambil bahagian dalam pasaran utama bon denominasi rubel atau bukan rubel yang dikeluarkan selepas 14 Jun 2021, oleh Bank Pusat Rusia, dana perbendaharaan negara, atau kementerian kewangan.

Perbendaharaan juga mengenakan sekatan ke atas enam syarikat teknologi Rusia yang "menyokong program siber Perkhidmatan Perisikan Rusia," dan 32 entiti serta individu kerana campur tangan Pilihan Raya Presiden AS 2020, kata kenyataan itu.

Di samping itu, Perbendaharaan, bersama Kesatuan Eropah, Britain, Australia, dan Kanada, menyenarai hitam lapan individu dan entiti berhubung kait isu Crimea.

AS turut mengusir 10 petugas misi diplomatik Rusia di Washington D.C. termasuk wakil Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia.

Tahun lalu Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia turut didakwa melakukan penggodaman SolarWinds.

Langkah itu diambil beberapa hari selepas Biden memberi amaran kepada rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bahawa AS akan "bertindak tegas untuk mempertahankan kepentingan negaranya sebagai tindak balas terhadap tindakan Moscow, seperti pencerobohan siber dan campur tangan pilihan raya."

Artikel Berkaitan:

Kremlin berulang kali menafikannya dan menyifatkan tuduhan campur tangan dalam pilihan raya AS 2020 tidak berasas selain kesal ia dijadikan alasan untuk mengenakan sekatan tambahan.

Hubungan antara Washington dan Moscow tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kedua-dua pihak bercanggah pendapat mengenai isu Ukraine, Syria, dan keselamatan siber, serta saling menuding jari wujud campur tangan politik. - Bernama