Had bayaran jaminan mahkamah menerusi eJamin kini RM500,000

Istana Kehakiman
Istana Kehakiman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Had pemindahan pembayaran digital bagi jaminan mahkamah menerusi aplikasi eJamin telah dinaikkan kepada RM500,000 daripada RM30,000.

Pengendali aplikasi itu Pertama Digital Bhd dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pemindahan bank menerusi dalam talian bagi membayar jaminan mahkamah sebelum ini dihadkan kepada RM30,000 bagi setiap urus niaga mengikut Had Standard Proses Pertukaran Kewangan BC2 (FPX) oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

“Dengan sokongan pegawai mahkamah di seluruh negara, eJamin telah mengurangkan proses jaminan daripada setengah hari kepada hanya beberapa minit, sekali gus membolehkan pembayaran jaminan dibuat melalui telefon pintar dan pelayar laman web. Had itu kini telah ditingkatkan kepada RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehingga kini, eJamin telah dilaksanakan di lebih daripada 140 lokasi mahkamah di seluruh Malaysia.

Pertama digital juga sedang berusana memperluaskan sistem jaminan digital untuk tahanan reman polis dan mahkamah jenayah Syariah.

Awal tahun ini, ia melaporkan bahawa kutipan jaminan berjumlah RM45.46 juta dikumpulkan daripada Januari hingga Disember 2020 dengan kadar pertumbuhan bulanan sebanyak 18.21 peratus. - Bernama

Artikel Berkaitan: