X

Kindly register in order to view this article
!

Zidane tabik kekentalan Los Blancos di Anfield

Antara aksi menarik perlawanan Liverpool menentang Real Madrid di Anfield awal pagi Khamis.
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane memuji karakter kental dalam kalangan pemain Los Blancos ketika mengekang asakan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi Khamis.

Pelawat yang tampil ke bumi keramat The Reds dengan belenggu kecederaan dalam kalangan pemain mempertaruhkan dua benteng Eder Militao dan Nacho Fernandez berjaya mara ke separuh akhir selepas mengikat tuan rumah tanpa jaringan.

Militao yang memulakan penampilan kesembilan musim ini manakala Nacho yang beraksi hampir separuh berbanding rakannya dari Brazil itu ternyata berjaya menampung slot kesebelasan utama milik Sergio Ramos dan Raphael Varane.

Tuan rumah memiliki deretan peluang merobek gawang pelawat berbanding aksi pertama sebelum ini, namun jentera pertahanan Los Blancos termasuk Federico Valverde dan Ferland Mendy bertindak cemerlang menggagalkan setiap percubaan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Gergasi La Liga itu mara selepas barisan anak buah Jurgen Klopp gagal menterbalikkan keputusan agregat 1-3 pada aksi suku akhir pertama di laman Real Madrid sebelum ini.

Menurut Zidane, pemain-pemain Real Madrid berdepan tekanan cukup hebat Liverpool yang tampil dengan misi keajaiban pada perlawanan tersebut.

'Kami telah menderita malam ini di bawah tekanan tetapi kami berjaya melalui perlawanan suku akhir ini.

"Saya tahu Liverpool akan menyukarkan tetapi pemain-pemain mengawal bahagian permainan dengan sangat baik.

"Pemain-pemain mempamerkan kekuatan mental yang kuat kerana mereka tahu ini adalah perlawanan yang sangat penting dan mereka telah memberikan segala yang terbaik.

"Kami akhirnya mengharungi ribut ini dengan baik apabila mengendalikan permainan dengan baik. Saya cukup berbangga dengan penampilan pemain-pemain Los Blancos," katanya.

Dalam pada itu, Zidane mengakui bahawa anak-anak buah Klopp ternyata memberikan tekanan menerusi corak permainan agresif sebaik bermulanya perlawanan.

"Kami tahu mereka akan bermula dengan pantas dan mereka sangat baik dalam 15 minit pembukaan tetapi itu perkara normal.

"Pada suku akhir Liga Juara-Juara, sebenarnya anda harus lebih berusaha menggali dan kami komited melakukannya dan akhirnya berjaya," ujarnya.

Juara 13 kali kejuaraan berprestij kelab Eropah itu memasuki peringkat empat terbaik buat kali ke-11 bakal berdepan dengan satu lagi kelab EPL, Chelsea dalam perebutan ke slot final di Istanbul pada 29 Mei depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!