X

Kindly register in order to view this article
!

Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa

Dua pengawal peribadi dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pengawal peribadi dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang didakwa tidak suka kedua-duanya menunaikan puasa dalam kejadian pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam ketika mangsa berada di One KL Condominium Jalan Pinang Kuala Lumpur.

Menurutnya, majikan mangsa yang merupakan pemilik sebuah syarikat bertindak memukul dua pengawal peribadinya itu selepas mendapat tahu kedua-dua mangsa sedang berpuasa.

"Suspek merupakan majikan mangsa bertanya kepada mangsa dan rakannya sama ada berpuasa atau tidak. Setelah mangsa memberitahu mereka berpuasa, suspek memarahi dan menampar kepala mangsa.

"Mangsa kemudian mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam Klang Selangor dan apabila sampai di rumah suspek, kedua mereka dipukul dengan menggunakan sebatang rotan serta diacukan dengan pistol," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan mengalami lebam di belakang badan dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kedua mangsa dilantik untuk bekerja sebagai pengawal rapat (bodyguard) suspek oleh syarikat sekuriti. Mangsa pertama sudah bekerja selama tiga tahun manakala rakannya selama tujuh tahun.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak suka mangsa dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan ini dan memaksa mereka supaya tidak berpuasa. Apabila mangsa enggan dengan arahan tersebut, suspek tidak puas hati lalu menampar sebanyak sekali di kepala serta mangsa dipukul menggunakan rotan dan diacu dengan pistol," katanya.

Menurutnya, suspek berumur 43 tahun diberkas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!