SOP: MPJL pantau ketat setiap bazar Ramadan

Raja Norazli
Raja Norazli
A
A
A

JEMPOL - Majlis Perbandaran Jempol ( MPJL ) memantau ketat setiap lokasi bazar Ramadan yang beroperasi di daerah ini dalam memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin berkata, SOP ketat wajib dipatuhi terutama memastikan penjarakan fizikal, selain mengawal jumlah kehadiran pengunjung di setiap bazar Ramadan.

Katanya, terdapat tiga lokasi bazar dianjurkan MPJL iaitu di Batu Kikir, Bahau dan Bandar Seri Jempol.

"Pengunjung tidak akan dibenarkan masuk ke bazar sekiranya kawasan itu sudah sesak dan perlu menunggu sehingga lengang.

"Kita juga berharap pengunjung tidak mengambil masa yang lama untuk membeli juadah bagi memberi peluang kepada orang lain membeli," katanya di sini pada Selasa.

Raja Norazli berkata, masa beroperasi di bazar Ramadan bermula jam 3 petang dan kehadiran orang ramai akan dipantau oleh penguat kuasa.

Menurutnya, tindakan kompaun akan dibuat sekiranya terdapat kesalahan melanggar SOP.

Sementara itu, Raja Norazli memberitahu, pihaknya akan melakukan penggiliran tugasan penguat kuasa, bagi memantau kedai makan.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan arahan kebenaran kedai makan dan restoran boleh beroperasi sehingga jam 6 pagi sepanjang Ramadan ini, kita akan terus melakukan pemantauan tanpa gagal," katanya.