'Flying Sikh' kembali beraksi

Karamjit Singh
Karamjit Singh
A
A
A

LEGENDA sukan permotoran negara, Karamjit Singh berjanji untuk mengembalikan semula kegemilangan rali Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pemandu berusia 59 tahun itu yang juga dikenali sebagai 'Flying Sikh' berkata melalui kerjasama antara agensi kerajaan berkaitan dan pihak penganjur, akan dapat menjadikan Malaysia di peta kejohanan dunia sekali lagi.

“Saya fikir penganjur sekarang mempunyai impian untuk mengembalikan semula kegemilangan rali Malaysia. Saya yakin dengan bantuan dan sokongan agensi berkaitan, kita boleh bawa kejohanan rali ke Malaysia dan menjadi tumpuan dunia semula.

“Negara mempunyai infrastruktur dan laluan rali yang cantik untuk menganjurkan acara kejohanan rali di sini,” kata Olahragawan Negara 2002 itu kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan Cisco Racing di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cisco, Rabin Nijhar berkata risiko awal perlu dipertimbangkan untuk mencipta masa depan yang lebih besar dalam kejohanan rali.

“Saya fikir Malaysia perlu kisah kemunculan semula sekarang, kita perlukan dana yang lebih besar, pasukan besar untuk melabur pada masa depan (perkongsian) dan mengambil risiko awal dan mengubahnya menjadi sesuatu yang besar.

“Ketika kita keluar daripada pandemik ini, negara ini memerlukan kisah kemunculan semula dan saya percaya Karamjit adalah kisahnya. Kami teruja untuk membawa Malaysia bersama-sama, menyokong ikon negara sebenar,” katanya.

Turut hadir rakan lama Karamjit, Jagdev Singh yang teruja untuk kembali menyertai rali bersama Karamjit mewakili pasukan Cisco Racing.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mereka tidak sabar untuk beraksi dalam Kejuaraan Rali Kebangsaan Malaysia yang diadakan pada 26 hingga 27 Jun bertempat di Sepang.

Karamjit pada Disember tahun lalu dilaporkan menjual apartmen, tiga kereta dan menggunakan wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM1 juta sejak 2012 sebagai modal untuk berlumba, sebelum memilih kerjaya sebagai pemandu e-hailing. - Bernama