X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital swasta dilibatkan sebagai Pusat Pemberian Vaksin: Dr Adham

Dr Adham Baba
A
A

PUTRAJAYA - Hospital swasta akan dilibatkan dalam Fasa 2 dan 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju melibatkan hospital swasta dalam program imunisasi itu berlandaskan prinsip 'vaccine equity' yang mana kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada semua.

Beliau berkata penglibatan hospital swasta itu mengambil kira cadangan yang dikemukakan pihak hospital swasta yang tidak mahu terkecuali dalam menggembleng tenaga bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi Covid-19 dicapai segera.

"Oleh itu, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada hospital swasta bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat," katanya dalam sidang akhbar perkembangan program imunisasi Covid-19 bersama Menteri Penyelaras program Khairy Jamaluddin di sini pada Isnin.

Hospital swasta yang ingin mengambil bahagian boleh mendaftar melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) di laman web www.protecthealth.com.my bermula Isnin.

Dr Adham berkata, melalui laman web itu juga, hospital swasta boleh mendapatkan maklumat berkaitan kaedah vaksinasi, skop tugas, keperluan, kadar bayaran dan kaedah pembayaran.

Pada masa ini terdapat 203 hospital swasta di seluruh negara.

Pada 8 Mac lalu, KKM mengumumkan penglibatan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dalam Fasa 2 dan Fasa 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mengenai penglibatan GP dalam program imunisasi itu, Dr Adham berkata, jumlah pendaftaran GP hingga Ahad ialah seramai 2,304 orang.

"GP dan hospital swasta yang telah berdaftar akan diberikan taklimat dan latihan berkaitan skop-skop tugas dalam program imunisasi," katanya, menambah garis panduan dan manual lengkap turut diberikan sebagai rujukan dalam mengendalikan pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!