Mahkamah benar permohonan Abdul Azeez tangguh bicara

Abdul Azeez Rahim - Foto Fail Bernama
Abdul Azeez Rahim - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin membenarkan permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk menangguhkan prosiding perbicaraan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan mahkamah menggunakan budi bicara untuk menggantung prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

“Selepas mempertimbangkan hujahan pihak peguam dan mengambil kira pendakwaan juga tidak membantah permohonan itu, mahkamah dengan ini membenarkan permohonan pemohon (Abdul Azeez).

“Mahkamah juga menimbang prinsip undang-undang dalam satu permohonan untuk penggantungan prosiding (bicara). Di dalam kes ini, terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan mahkamah untuk menggantung prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan dan penyelesaian rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan," katanya.

Pada 12 Mac lalu, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Abdul Azeez memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada hari sama (12 Mac) dan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini difailkan pada 8 April lepas.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez dalam hujahannya berkata pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu dan sekiranya rayuan anak guamnya berjaya, ia menjimatkan masa dan kos Mahkamah Sesyen yang mendengar kes tersebut.

"Memandang pihak pendakwa tidak membantah permohonan penangguhan itu, menunjukkan bahawa mereka menghormati proses dinamik prosding dan tidak ada prasangka dalam kes ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengurusan kes di Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 8 Jun depan.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed kemudian berkata, pihak pendakwaan telah mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tidak membantah terhadap permohonan itu.

Sementara itu, Adam ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata setakat ini seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos tahun lepas.

Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.-Bernama