Suspek kes bunuh meninggal dunia selepas 14 hari koma

Seorang warga emas maut ditikam sudu oleh suspek pada 6 Februari lalu.
A
A

IPOH - Seorang suspek lelaki yang menikam warga emas iaitu jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre di sini, 2 Februari lalu meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek berusia 30-an itu meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari tadi selepas 14 hari koma di hospital berkenaan.

"Suspek yang kritikal dan koma diberi rawatan di HRPB dengan mesin sokongan hayat sebelum disahkan meninggal tengah hari tadi dan mayatnya akan dibedah siasat esok.

"Doktor mengesahkan setakat ini punca kematiannya adalah disebabkan trauma di bahagian otak’," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 2 Februari lalu, seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun disahkan maut dengan kesan luka tikaman di dada dalam satu pergaduhan di sebuah bangunan tiga tingkat di jalan berkenaan manakala suspek yang menetaknya pula parah dan dirawat di HRPB.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman dalam kenyataan pada hari kejadian berkata, pihaknya mendapati pergaduhan itu melibatkan empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

"Siasatan awal mendapati perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara mereka," katanya.

Menurutnya, wanita yang juga penyewa bilik di bangunan itu dikatakan cuba meleraikan pergaduhan, namun dicekik suspek, menyebabkan anak lelaki wanita itu yang berusia 30-an, bertindak menetak suspek. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Mati ditikam sudu: Suspek belum sedarkan diri