X

Kindly register in order to view this article
!

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Sabiamad

A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jaguh sukan menembak Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sabtu.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Olimpian negara itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak negara.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," menurut kenyataan Istana Negara dalam laman Facebook pada Ahad.

Sebagai rekod, Sabiamad sebelum ini pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dalam acara menembak dan beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 sebelum bersara pada awal 1990-an.

Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara terutama dan juga acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol.

Sabiamad pernah meraih pingat emas untuk negara dalam acara 50m pistol lelaki individu pada Sukan SEA 1983 di Singapura.

Selepas persaraan, beliau aktif membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan negara dan pernah menjadi pengurus pasukan menembak Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEA 2017 di Singapura dan Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.

Sabiamad juga pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!