Cuci kereta, bayar seikhlas hati

'Ustaz Carwash' menyediakan tabung bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran dengan masukkan duit ke dalam tabung itu selepas selesai mendapat khidmat cuci kenderaan.
'Ustaz Carwash' menyediakan tabung bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran dengan masukkan duit ke dalam tabung itu selepas selesai mendapat khidmat cuci kenderaan.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kereta bersih dan bayar seikhlas hati, itu konsep sebuah pusat cuci kenderaan 'Ustaz Carwash' yang diusahakan oleh PU Lokman di Jaya Gading di sini.

PU Lokman atau nama sebenarnya Mohd Lokman Ahmad berkata, tawaran itu hanya pada Jumaat dan pelanggan boleh membayarnya dengan hanya memasukkan duit ke dalam kotak yang disediakan.

Menurutnya, hasil kutipan itu akan disalurkan kepada penghuni di Pondok Tahfiz Haji Ahmad Kampung Dala di Lanchang.

"Pelanggan boleh datang mencuci kenderaan mereka pada setiap hari, tetapi hari Jumaat cukup istimewa kerana pelanggan boleh bayar ikut mampu. Pada hari lain, pelanggan bayar seperti kadar biasa," katanya ketika ditemui di pusat cuci kenderaan miliknya di Jaya Gading, pada Sabtu.

Mohd Lokman berkata, perniagaan itu dibuka secara bersama-sama dengan rakannya Khairul Fikri Ailias sejak sebulan lalu.

Jelasnya, idea untuk mengusahakan perniagaan itu tercetus apabila memikirkan perbelanjaan bagi menampung pondok tahfiz miliknya.

Katanya, lebih 50 penghuni yang belajar dan menetap di pondok itu yang ditanggung sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Sebelum, ini kita bergantung sepenuhnya kepada kutipan derma dan surau tetapi sampai bila kita perlu berharap sumbangan daripada orang ramai.

"Jadi, kita buka satu perniagaan yang memberikan khidmat cuci berkonsepkan amal jariah dan ternyata sambutan diterima menggalakkan," katanya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 50 peratus keuntungan daripada khidmat cuci kenderaan itu disalurkan kepada pondok tersebut.

Sementara itu, pelanggan, Nik Mohamed Ghazali Abib Yaakob, 48, berkata, konsep itu menarik kerana memberi peluang kepada pelanggan untuk menderma.

"Tidak banyak pusat cuci kereta memilih kaedah begini tetapi saya suka dan pasti akan datang setiap Jumaat untuk menderma.

"Konsep ini perlu dicontohi oleh pihak lain dengan menawarkan satu perkhidmatan dan orang ramai boleh memberi sumbangan," katanya.