Diserang penyokong BN: Syed Saddiq lapor polis

Syed Saddiq hadir membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way.
Syed Saddiq hadir membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way.
A
A
A

PETALING JAYA — Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis susulan dikatakan diserang penyokong BN selepas proses Penamaan Calon PRK di Semenyih, pagi tadi.

Menurutnya, beliau telah diserang Exco Pemuda UMNO, Papagomo atau dikenali sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris yang turut mengugut beliau agar meninggalkan pusat penamaan calon berkenaan.

“Saya tidak tahu apa niat Papagomo yang tiba-tiba datang mencekak bahagian belakang leher saya dengan kuat ketika saya bersama tiga lagi rakan yang hendak meninggalkan pusat penamaan calon PRK di Semenyih.

“Dia (Papagomo) cuba ugut saya supaya jangan cari pasal dan berpesan agar tidak datang ke sana lagi (Semenyih)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.

Syed Saddiq yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar berkata, dalam kejadian itu, beliau tidak mampu berbuat apa-apa sebelum dibantu beberapa anggota polis serta Unit Amal Pas yang meleraikan kumpulan terbabit.

Tambahnya, beliau juga memaklumkan akan ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan susulan cekakan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Syed Saddiq diterjah dan dikejar sekumpulan penyokong pembangkang yang mencacinya dengan kata-kata kesat, selain menghalang dan mengerumuninya untuk pergi ke kereta.

Video kejadian itu kemudian telah tular di media sosial menunjukkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya di persimpangan lampu isyarat Persiaran Impian Perdana, selepas selesai sesi penamaan calon bagi PRK Semenyih

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan polis telah menerima dua laporan berhubung kejadian terbabit.

"Satu laporan dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya dan satu lagi laporan dibuat di Balai Polis Kajang oleh anggota polis yang menyelamatkan menteri itu.

"Dalam laporan polis yang dibuat oleh anggota polis terbabit telah menyatakan dirinya telah dipukul dari arah belakang semasa cuba menyelamatkan dan meleraikan keadaan. Pihak polis masih dalam tindakan merakam percakapan saksi-saksi sebelum mengklasifikasikan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq cuba dikasari ketika penamaan calon