Syed Saddiq cuba dikasari ketika penamaan calon

Paparan skrin penyokong BN ‘menyerang’ Syed Saddiq ketika beliau berjalan berhampiran kumpulan penyokong BN.
Paparan skrin penyokong BN ‘menyerang’ Syed Saddiq ketika beliau berjalan berhampiran kumpulan penyokong BN.
A
A
A

SEMENYIH - “Nak caci saya ‘ba..’, ‘bangsat’, ‘bodoh’, ‘hancing’, saya tetap akan hormati, kerana itu hak saudara. Tetapi kalau sampai nak guna serangan fizikal, that’s too much (itu melampau)!”

Itu reaksi Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman mengulas ‘serangan’ penyokong BN terhadapnya selepas proses Penamaan Calon tamat di sini, pagi tadi.

Dalam catatan di Facebook beliau, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan beliau akan membuat laporan polis pada jam 2 petang ini di Balai Polis Sungai Way.

“Hari ini saya tiada driver (pemandu) sebab tidak bertugas sebagai menteri. Dalam perjalanan nak ke kereta, saya diserang oleh penyokong penyokong BN.

“Bila dimaki, saya hanya beri salam dan terus bergerak ke hadapan tetapi mereka kejar saya. Bila diserbu, pihak polis yang berdekatan datang bantu.

“Unit Amal (Pas) yang nampak insiden pun datang untuk bantu kerana mereka nampak reaksi fizikal beberapa penyokong BN,” tulis beliau.

Syed Saddiq juga adalah Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau terhutang budi kepada pihak polis dan Unit Amal yang berdekatan kerana membantunya.

“Tanpa mereka, saya tidak tahu apa akan jadi pada saya sekarang.

Artikel Berkaitan:

Insiden seperti ini mengingatkan saya kenapa saya masuk politik. Bukan untuk bermusuhan, tetapi untuk kekal berkhidmat,” ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan itu turut menzahirkan rasa sedih dengan budaya gangsterisme yang menular dalam kalangan masyarakat.

“I want to be a 'Yang Berkhidmat' which serves all Malaysians regardless of race, religion and political ideologies. Kerana Malaysia menyatu padukan kita semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan pihaknya masih belum mendapat laporan berhubung insiden tersebut.

"Benda ini masih dalam siasatan dan insiden ini belum terima apa-apa laporan rasmi lagi.

“Cuma apa yang kami dapat daripada maklumat awal menyatakan ketika tamat penamaan calon, Syed Saddiq yang hendak menuju ke kereta beliau, ada sekumpulan penyokong telah cuba merapatkan diri dengan beliau.

"Ia masih dalam siasatan dan belum ada laporan rasmi. Kalau ada kecederaan kita akan siasat. Polis cuma terima maklumat sahaja,” katanya.