PH perlu muafakat bawah satu payung

Shamsul Iskandar menyertai Program Gotong Royong Perdana di Taman Paya Dalam, Ayer Molek.
Shamsul Iskandar menyertai Program Gotong Royong Perdana di Taman Paya Dalam, Ayer Molek.
A
A
A

MELAKA - Semua parti komponen PH Melaka akan bergerak di bawah satu payung bagi membantu kempen di PRK DUN Semenyih.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut telah dilakukan bersama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan semua parti komponen akan bergerak sebagai satu pasukan.

Menurutnya, setiap parti komponen akan menghantar antara 250 hingga 300 orang mengikut peruntukan yang ditetapkan.

"PRK DUN Semenyih tidak boleh dipandang kerana segalanya mungkin berlaku," katanya selepas Program Gotong Royong di Taman Paya Dalam, Ayer Molek, di sini.

Bagaimanapun, katanya, kajian dilakukan menunjukkan peluang PH menang agak cerah, namun kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu khususnya kos sara hidup.

"Isu yang akan dimainkan di Semenyih adalah isu nasional, justeru PH cenderung memberikan tumpuan terhadap isu negeri.

"Dalam konteks ini sudah pasti PKR akan memainkan peranan penting kerana Menteri Besar Selangor dari PKR," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, beliau mengingatkan kepada pimpinan tertinggi semua parti komponen PH supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menunjukkan ketiadaan muafakat di dalam gabungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Johor, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yakin kerusi DUN Semenyih milik PH meskipun pertandingan menyaksikan saingan sengit membabitkan empat penjuru.

"Saya berada di Semenyih sebelum datang ke sini dan saya lihat sokongan kepada PH adalah tinggi kerana faktor Selangor diperintah PH selama dua penggal iaitu 10 tahun.

"Jadi, orang Selangor telah matang dan faham apa yang telah dilaksanakan kerajaan Selangor apatah lagi PH telah mengambil kerajaan pusat, jadi telah meningkatkan manfaat kepada mereka.

"Ya, saya yakin PH boleh menang kerana orang Selangor jauh lebih matang berikutan mereka tahu menilai kerajaan yang baik di bawah PH berbanding 10 tahun yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saingan empat penjuru pada PRK untuk kerusi DUN berkenaan membabitkan calon PH, BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon Bebas selepas proses penamaan calonnya sebentar tadi.