14 termasuk dua adik Nicky didakwa terbabit jenayah terancang

Sebahagian 14 individu termasuk empat warga China yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Bagaimanapun dalang utama yang juga Pengasas Winner Dynasty, Nicky Liow, 33, kini masih dalam buruan polis. - Foto Bernama
Sebahagian 14 individu termasuk empat warga China yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee. Bagaimanapun dalang utama yang juga Pengasas Winner Dynasty, Nicky Liow, 33, kini masih dalam buruan polis. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 14 individu termasuk dua adik kepada ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan terbabit dalam jenayah terancang Geng Nicky pada 2017 lalu.

Mereka ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Wong, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming.

Wei Kin dan Wei Loon merupakan adik kepada Nicky.

Turut didakwa empat warga China iaitu Huang Lei dan isterinya, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue

Kesemua tertuduh hanya menjawab faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaludin Mat kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, seramai 13 tertuduh kecuali Kim Ming didakwa menjadi ahli kumpulan terancang itu di kawasan Setiawalk, Persiaran Wawasan Pusat Bandar Puchong di sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Subseksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi Kim Ming yang didakwa membantu kumpulan terancang itu di lokasi dan tarikh sama, didakwa di bawah Subseksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Rohaiza Abd Rahman, Mohd Izharuddin Alias dan Mohd Farhan Aliff Ahmad.

Sementara itu, Mohamad Mustaffa berkata, terdapat dua lagi individu lain yang sepatutnya didakwa tidak hadir di mahkamah pada Jumaat.

Maka katanya, ia menunjukkan risiko untuk melarikan adalah sangat tinggi terutama membabitkan tertuduh warga asing, jadi permohonan ikat jamin wajar ditolak oleh mahkamah.

"Pertuduhan ini adalah meliputi isu keselamatan, ia berbeza dengan kes jenayah lain yang boleh dijamin," katanya.

Selain itu beliau berkata, alasan sakit tidak memadai untuk mahkamah memberi ikat jamin kerana pihak penjara boleh menyediakan rawatan perubatan di dalam penjara.

Sementara tertuduh-tertuduh diwakili barisan peguam antaranya Datuk Rajpal Singh, Datuk Suraj Singh, Mohd Salehuddin Mohd Salleh, Datuk Krishnan Kesavan Nair, M Hafiz Zainol Abidin, M Mariappan, Tiew Poh Nee dan Datuk Jensen Chua.

Ketika prosiding, peguam-peguam tertuduh memohon agar anak guam mereka diberi ikat jamin antaranya dengan alasan masalah kesihatan dan pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan terdapat risiko anak guam mereka mahu melarikan diri.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Jamaludin menolak permohonan semua tertuduh untuk dilepaskan dengan ikat jamin.

"Setelah meneliti permohonan, mahkamah mendapati pihak pemohon gagal membuktikan hak keistimewaan supaya mahkamah memberi ikat jamin, maka permohonan mereka ditolak," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 geng Nicky akan didakwa pagi ini

Ada pegawai bocor maklumat, 'lindungi' Nicky Liow: KPN

Dalang Geng Nicky lari bawa lapan beg berisi duit

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/131120/BERITA/Semasa/Dalang-Geng-Nicky-lari-bawa-lapan-beg-berisi-duit

2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf