Bot nelayan Vietnam jadi kajian UMT

Sebuah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak sedang ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Bidong, Terengganu bagi proses penyelidikan dan pendidikan sains marin oleh pelajar UMT.
Sebuah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak sedang ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Bidong, Terengganu bagi proses penyelidikan dan pendidikan sains marin oleh pelajar UMT.
A
A
A

SETIU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menyumbangkan dua bot nelayan Vietnam untuk dijadikan tukun tiruan bagi proses pendidikan dan penyelidikan sains marin pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dua bot berkenaan dilupuskan sebagai tukun tiruan pada kedalaman 13 hingga 15 meter dari permukaan laut dan jarak antara 500 hingga 600 meter dari Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bot berkenaan adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut

hak oleh mahkamah sepanjang 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Beliau berkata, penyerahan bot bagi tujuan penyelidikan itu pertama kali dilaksanakan serta merupakan simbolik hubungan strategik dua hala antara Maritim Malaysia Terengganu dan UMT.

"Langkah ini merupakan inisiatif bagi memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta menjadi komitmen Maritim Malaysia dalam mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

"Ia juga sebagai isyarat tegas kerajaan dalam memelihara kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan terus terpelihara," katanya pada sidang akhbar selepas program melabuhkan tukun vessel lucut hak sumbangan Maritim Malaysia Terengganu bagi aktiviti penyelidikan UMT di perairan Pulau Bidong pada Khamis.

Dalam pada itu, Saiful Lizan berkata, proses pelupusan itu adalah kali kesembilan dilakukan tahun ini dan dijangka 38 buah bot lagi akan ditenggelamkan sepanjang tahun ini setelah mendapat perlucutan hak mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, proses pelupusan bot tersebut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

"Sehingga kini sebanyak 104 bot dengan anggaran nilai RM156 juta telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di sepanjang perairan Terengganu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pelabuhan tukun vessel di perairan Pulau Bidong bagi membolehkan pelajar dan penyelidik UMT menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan sumber perikanan serta aspek sains marin.

Beliau berkata, UMT turut berbincang bersama Jabatan Warisan Negara di mana ia merupakan entiti penting di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk menjadikan kawasan tukun itu sebagai lokasi latihan bagi kajian arkeologi bawah tanah.

"Sekiranya berjaya, ia menjadi lokasi latihan pertama seumpamanya di Malaysia.

"Selain itu, kita harap program ini juga dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dalam mengekalkan kelestarian sumber perikanan negara yang amat mencabar kini," katanya.