X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki buang bayi teman wanita berdepan hukuman mati

Ahmad Shamil Ashraf (tengah) diiringi anggota polis ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis.
A
A

MELAKA - Seorang pembantu kedai makan yang membuang bayi baru dilahirkan teman wanitanya dalam semak hingga menyebabkan kematian pada 29 Mac lalu, berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada Khamis.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Shamil Ashraf Zainudin, 19, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan remaja perempuan berusia 17 tahun empat bulan antara jam 12.01 pagi hingga 10.30 malam di kawasan semak tepi jalan berhampiran Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ahmadiah pada hari kejadian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan 19 Mei depan sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Raudah Mazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes buang bayi di tepi jalan kawasan semak berhampiran kawasan kilang Telok Mas pada 29 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, soal siasat mendapati remaja perempuan itu mengaku melahirkan bayi tersebut hasil hubungan sulitnya bersama teman lelakinya Januari tahun lalu sebelum disahkan mengandung Mac 2020.

Menurutnya, suspek telah melahirkan bayi lelaki itu lebih kurang jam 12 tengah malam yang disambut oleh teman lelakinya di sebuah rumah di Kandang sebelum individu itu bertindak memasukkan bayi yang masih hidup ke dalam kotak plastik dan dibungkus dalam plastik hitam lalu dibuang ke kawasan semak.

ARTIKEL BERKAITAN: Buang bayi: Remaja perempuan, teman lelaki ditahan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!