Hampir 7,000 usahawan graduan TVET dilahirkan sejak 2018: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Politeknik dan kolej komuniti di negara ini melahirkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak 2018, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, ada antara usahawan berkenaan mampu menjana pendapatan membanggakan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain.

“Berdasarkan dapatan kajian yang dilakukan, kebolehpasaran graduan TVET ini melebihi 95 peratus setiap tahun,” katanya ketika berucap secara maya pada TVET Expo dan Summit 2021 (TES2021) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Rabu.

Beliau juga menjelaskan kebolehpasaran itu membuktikan graduan politeknik dan kolej komuniti menjadi pilihan majikan serta industri.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi menyokong usaha melahirkan lebih ramai ‘job creator’.

Katanya, TVET di Malaysia juga perlu dilihat sebagai pendidikan masa hadapan dalam membentuk set kemahiran bagi graduan menghadapi revolusi industri 4.0 dan perubahan teknologi dalam pasaran kerja.

TES2021 yang bertemakan Pendidikan Digital: The New Future itu melibatkan 5,000 peserta dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 50 institusi pendidikan.

Seramai 16 penceramah Malaysia dan antarabangsa turut menyertai TES2021 anjuran Ruang Cikgu Berhad dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Education & Training Sdn Bhd yang diadakan secara hibrid.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Ruang Cikgu Berhad dengan UTHM, National STEM Association, Persatuan Personel Lantikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (MyPersonnel), Persatuan Malaysian Buskers Club (MYBC), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Alumni Parlimen Belia Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.

MoU berkenaan bagi menjalinkan kolaborasi pembangunan pendidikan digital melalui platform digital RC TVET yang dibangunkan oleh Ruang Cikgu Berhad.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan penutupan TES2021 itu. - Bernama