SWCorp galak penglibatan lebih banyak NGO, komuniti

Daroyah (kanan) melawat reruai Pasar Kitar Semula sambil ditemani Zaidi (tengah) dan Asri (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Mendaya Komuniti di bawah Dasar Kebersihan Negara dan #Jangan Gunalah Beg Plastik bersama Penggerak Komuniti Negara dan Penduduk di Taman Wira, Alor Setar pada Rabu.
Daroyah (kanan) melawat reruai Pasar Kitar Semula sambil ditemani Zaidi (tengah) dan Asri (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Mendaya Komuniti di bawah Dasar Kebersihan Negara dan #Jangan Gunalah Beg Plastik bersama Penggerak Komuniti Negara dan Penduduk di Taman Wira, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti membantu menjayakan Program Mendaya Komuniti dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bersih.

Pengerusi SWCorp Malaysia, Dr Daroyah Alwi berkata, Program Mendaya Komuniti merupakan inisiatif di bawah Dasar Kebersihan Negara dilaksana bagi mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, program ini dilaksanakan di kawasan komuniti melalui pendekatan daripada komuniti kepada komuniti (C2C) bagi memperkasakan komuniti untuk melaksanakan aktiviti berkaitan penjagaan kebersihan.

"Malah, komuniti setempat bertanggungjawab melakukan amalan 3R (reduce, reuse, recycle) di komuniti masing-masing dengan kerjasama NGO seperti Penggerak Komuniti Negara (PKN).

"Dengan ini, kita dapat menggalakkan penglibatan komuniti setempat dengan kerjasama NGO agar mereka lebih bertanggungjawab dan cakna dalam melaksanakan penjagaan kebersihan dan amalan 3R," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Pelancaran Program Mendaya Komuniti di bawah Dasar Kebersihan Negara dan #Jangan Gunalah Beg Plastik bersama Penggerak Komuniti Negara dan Penduduk di Taman Wira, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Asri Redha; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar; Pengarah SWCorp Kedah, Nordin Amat dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.

Menurutnya, program berkenaan diharapkan memberi impak positif kepada komuniti setempat dari aspek sosial dan ekonomi serta mewujudkan platform kerjasama di antara agensi kerajaan dan NGO.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiga kluster diberi fokus melalui program di bawah Dasar Kebersihan Negara ini iaitu kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar serta ekonomi kitaran.

"Program Mendaya Komuniti ini merangkumi beberapa aktiviti seperti gotong-royong, pengumpulan minyak terpakai, value food no waste, pendaftaran sukarelawan kebersihan serta rakan SWCorp," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, rakyat diharapkan sedar dan memahami tanggungjawab masing-masing untuk mengurangkan penggunaan beg plastik bagi menangani isu lambakan sisa plastik tidak boleh dikitar semula di tapak perlupusan sampah.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan diharap mampu merealisasikan sasaran mencapai 32 peratus kadar kitar semula kebangsaan ditetapkan pada tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha PKN Kedah, Zaidi Mahmud berkata, pihaknya menyambut baik program yang mampu memberi manfaat kepada komuniti apabila sampah juga boleh ditukar menjadi wang.

"Melalui aktiviti Trash to Cash bersempena Program Mendaya Komuniti, sebanyak 599.05 kilogram (kg) barang kitar semula dikumpulkan penduduk Taman Wira dalam tempoh tiga hari untuk ditukar kepada wang," katanya.

Tambah beliau, kutipan barang kitar semula makin bertambah dari hari ke hari menunjukkan kesedaran penduduk untuk menjaga kebersihan dan mempraktikkan amalan 3R kian meningkat.

Menurut Zaidi, sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan SWCorp di seluruh 15 Parlimen di Kedah bagi menjayakan lagi program berkenaan.

Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti berkata, di bawah DUN Suka Menanti, ada 11 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan program seperti ini akan dirancang bersama SWCorp dalam masa terdekat.