Kes rogol ADUN: Saksi sahkan terdapat dua kesan koyakan baharu

ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hadir pada perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkannya di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hadir pada perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkannya di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pakar Sakit Puan dan Ibu Hamil Jabatan Obstektrik dan Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Nilawati Isha mengesahkan bahawa terdapat dua kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tronoh Paul Yong Choo Kiong.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed di sini pada Rabu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi.

"Daripada pemeriksaan, saya mendapati berlaku koyakan baharu pada selaput dara, juga terdapat kesan geseran iaitu kesan kemerahan, juga di bahagian paling bawah pada kemaluan," katanya.

Beliau berkata, koyakan pada selaput dara boleh disebabkan oleh kemasukan objek tumpul atau organ seperti kemaluan lelaki dan jari manakala koyakan baharu bermaksud ia berlaku dalam tempoh kurang daripada 72 jam ketika mangsa diperiksa.

Katanya pemeriksaan itu dilakukan pada 12.30 tengah malam 9 Julai 2019 manakala kejadian rogol didakwa berlaku pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Dr Nilawati turut memaklumkan kesan koyakan dan geseran pada kemaluan mangsa boleh dihasilkan dengan cara konsensual atau paksaan namun tiada masa spesifik ia boleh berlaku.

Beliau juga bersetuju berdasarkan sejarah warga Indonesia berusia 24 tahun itu, mangsa pernah melakukan seks dengan teman lelakinya pada 2018 semasa disoal balas oleh peguam Salim Bashir yang mewakili Paul Yong.

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa koyakan juga boleh berlaku akibat masturbasi dan saksi tersebut bersetuju.

Artikel Berkaitan:

Paul Yong, 51, yang didakwa merogol mangsa di kediamannya di Meru Desa Park, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan. - Bernama