5.7 juta premis dapat akses jalur lebar tetap: SKMM

Fadhlullah Suhaimi
Fadhlullah Suhaimi
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya memperluaskan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 5.7 juta premis di seluruh negara pada suku pertama tahun (Q1) 2021.

Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, jumlah tersebut merupakan pertambahan sebanyak 299,826 premis berbanding tahun lepas.

Menurutnya, perkembangan berkenaan menunjukkan negara berada di landasan yang betul dalam pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 yang menyasarkan peluasan rangkaian kepada 7.5 juta premis menjelang akhir tahun 2022.

“Dari segi petunjuk prestasi utama (KPI) bagi Q1, kami berjaya mencapai 132 peratus daripada sasaran 221,539 premis yang dirancang bagi peluasan jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

“Untuk pertambahan tapak komersial baharu bagi peluasan jalur lebar mudah alih pula, kami berjaya mencapai 116 peratus (29 tapak) daripada sasaran asal 25 tapak yang disasarkan.

“Bagi penaiktarafan tapak pula, kami berjaya mencapai 101 peratus (3,278 tapak) daripada sasaran asal 3,223 tapak yang berjaya dilakukan bagi tempoh yang sama,” ketika memberikan taklimat Laporan Suku Kedua Jendela Fasa 1 yang diadakan secara maya pada Rabu.

Dr Fadhlullah berkata, peluasan capaian bagi rangkaian selular jalur lebar generasi keempat (4G) bagi suku pertama tahun ini juga meningkat daripada 92 peratus untuk tahun lalu kepada 93.5 peratus.

Menurutnya, kelajuan purata terkini bagi jalur lebar mudah alih menunjukkan sedikit peningkatan pada suku pertama tahun ini iaitu 25.44 megabit sesaat (Mbps) berbanding 31 Disember lalu, 25.6 Mbps.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai migrasi pengguna daripada rangkaian 3G, Dr Fadhlullah berkata, SKMM meramalkan sebanyak 629,018 pengguna akan beralih daripada rangkaian tersebut bagi tempoh Q1 iaitu 130 peratus lebih daripada sasaran 562, 490 pengguna yang ditetapkan.

Di bawah pelaksanaan Jendela Fasa 1, kerajaan mengambil keputusan untuk menutup rangkaian 3G secara beransur-ansur hingga akhir tahun 2021 bagi membolehkan peningkatan lebih lanjut ke rangkaian 4G serta memperkuat asas untuk rangkaian 5G.

Pada Februari lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan langkah kerajaan untuk mempercepatkan pengenalan rangkaian 5G setahun lebih awal daripada sasaran asal iaitu penghujung tahun 2022 kepada suku keempat tahun 2021.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bermula pada tahun lepas itu juga akan memberikan tumpuan untuk memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.