X

Kindly register in order to view this article
!

Real Madrid masih belum selamat

Pemain Real Madrid Vinicius Junior merembat untuk gol pembukaan Real Madrid.
A
A

BIARPUN gembira dengan kemenangan 3-1 Real Madrid ke atas Liverpool pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu, namun pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane menyifatkan skuad kendaliannya itu masih belum selamat.

Menurut Zidane, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan oleh itu, kesemua pemain Los Blancos perlu memberikan fokus untuk mengharungi aksi kedua berdepan skuad The Reds, 15 April ini.

“Kami telah mengharungi perlawanan yang hebat. Walaupun berdepan sedikit kesukaran di peringkat awal, tetapi saya tetap gembira dengan aksi yang dipamerkan.

“Kita tidak banyak melakukan perubahan kepada pasukan apabila tetap menggunakan formasi 4-3-3 untuk berdepan dengan Liverpool dan ia berjaya menghasilkan kemenangan.

“Namun, perlu diingat, perlawanan ini masih belum berakhir. Masih ada suku akhir kedua untuk kita harungi,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan pemain Real Madrid, Vinicius Junior membuka jaringan pada minit ke-27 sebelum Marco Asensio menjaringkan gol kedua pada minit ke-36.

Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah merapatkan jurang gol menerusi jaringannya pada minit ke-51, namun Junior sekali lagi menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-65.

Sementara itu Zidane mengakui masih belum memikirkan mengenai aksi ‘el clasico’ berdepan Barcelona awal pagi Ahad ini.

Katanya, dalam tempoh sehari dua ini dia serta pemain mahu meraikan kejayaan dan dalam masa sama memberikan fokus pulih daripada kecederaan serta mengembalikan kecergasan bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

“Kami hanya mahu meraikan kejayaan ini. Kami akan mula fikirkan mengenai perlawanan ini esok atau lusa.

“Lagi pun, perlawanan itu pada awal pagi Ahad, masih ada masa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!