Tanaman baharu untuk pekebun kecil dimulakan: Teresa Kok

Teresa Kok - Foto Bernama
Teresa Kok - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan untuk mengenal pasti jenis tanaman baharu yang sesuai diusahakan pekebun kecil sawit dan getah sudah dimulakan sejak awal tahun ini dalam usaha kerajaan membantu mempelbagaikan tanaman.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, ini bertujuan membantu pekebun kecil menghadapi cabaran harga komoditi dunia yang tidak menentu.

"Selain kementerian saya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyaran pekebun kecil tidak terlalu bergantung kepada satu jenis tanaman komoditi sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Dr Mahathir supaya golongan petani tidak bergantung terhadap sejenis tanaman sahaja.

Beliau ditemui media selepas merasmikan laluan penghubung di antara Jalan Kelang Lama dan Lebuhraya Pantai Baru melalui Jambatan Menyeberangi Sungai Kelang (OKR-NPE Link Bridge).

Menurutnya, kerajaan juga sedang melihat kesesuaian tanah dengan jenis-jenis tanaman yang akan dipromosikan.

"Ini semua bergantung kepada daerah dan juga pekebun," katanya.

Teresa berkata, ramai pekebun kecil mula menanam tanaman sampingan seperti kelapa, kenaf dan nanas.

Artikel Berkaitan:

"Ada pekebun kecil yang menanam kelapa dan kerana permintaan tinggi Malaysia terpaksa mengimport sejuta biji kelapa setahun.

"Jadi ini satu tanaman yang saya rasa boleh membawa keuntungan," katanya. - Bernama