Mandat UMNO mungkin berubah selepas PRU15

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama, gambar kecil: Ahmad Tajuddin Sulaiman
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto Bernama, gambar kecil: Ahmad Tajuddin Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin UMNO tidak dapat mengenepikan kemungkinan mandat parti itu akan berubah hanya selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan baharu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, sekiranya UMNO berjaya menjadi parti dominan dan membentuk kerajaan baharu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh mencadangkan calon lain untuk menjadi Perdana Menteri.

Berikutan itu, beliau berpandangan tiada masalah untuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu terus mengekalkan jawatannya sebelum mandat baharu parti itu ditentukan pada pasca PRU15.

“Dari segi strategi untuk hadapi PRU, dia (Ahmad Zahid) boleh mengubah nasib UMNO kalau dia mencadangkan orang lain sebagai Perdana Menteri hanya setelah kerajaan baharu tertubuh.

“Dia sebagai Presiden hanya membantu parti menghadapi pilihan raya dengan mengemukakan orang lebih baik untuk dijadikan calon Perdana Menteri. Itu tidak ada hal, boleh dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas gesaan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah yang meminta pucuk kepimpinan parti termasuk Ahmad Zahid segera ‘berkorban’ dengan mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan utama demi memastikan kelangsungan UMNO.

Zakaria berkata, jika UMNO mahu benar-benar berubah, jalan terbaik adalah melalui pembaikan politik secara membersih dan membuang imej parti feudal warlord.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat kerjasama UMNO dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kelak, Ahmad Tajuddin mengakui dasar parti diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menolak kerjasama DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mustahil bakal berubah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah menyuarakan kebimbangan sekiranya proses pemilihan parti tidak diadakan secepat mungkin, ada kemungkinan mandat parti berubah hanya pada pasca PRU15.

Beliau juga meminta semua ahli UMNO tidak sekadar meletakkan beban kepada Presiden parti sahaja dalam menangani kemelut UMNO, sebaliknya semua kepimpinan parti perlu menanggungnya.

“Saya meraikan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli parti yang majoritinya mendesak supaya diadakan pemilihan UMNO segera tetapi dalam isu hendak suruh siapa letak jawatan, jangan dibebankan kepada Presiden UMNO seorang. Ahli-ahli institusi presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak boleh buat bodoh dengan membiarkan Presiden sahaja dipersalahkan.

“Bagi saya, perkara terbaik menguraikan kekusutan dalaman adalah dengan mengadakan pemilihan parti dengan MKT perlu mendesak proses itu dijalankan secepat mungkin,” katanya.