Tujuh ditahan menyamar polis untuk menyamun

No Image Caption
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis menahan tujuh individu kerana dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan menyamar sebagai anggota polis di sebuah hotel bajet di Bukit Beruntung di sini pada Ahad.

Kejadian jam 5.30 petang berlaku ketika mangsa bersama rakannya menginap di hotel tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, mangsa didatangi lima individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis sebelum meminta kad pengenalan serta telefon bimbit.

Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa dan rakannya tunggu di bilik dengan alasan lori polis akan mengambil serta menghantar mereka ke balai polis berhampiran untuk dijalankan saringan air kencing

"Bagaimanapun, kesemua suspek bertindak melarikan diri bersama barangan milik mangsa dan rakannya dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna merah," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis kemudiannya menjalankan dua serbuan di beberapa lokasi sekitar Hulu Selangor.

"Seramai tujuh individu berumur antara 25 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan itu.

"Polis turut merampas pelbagai jenis telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan nilai keseluruhan RM15,000.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis metaphatamine," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah diminta menyalurkan kepada polis untuk diambil tindakan segera," katanya.