Pencemaran Sungai Skudai jejaskan LRA Sultan Ismail

Hasni (tengah) pada Program Sayangi Sungai sempena Hari Air Sedunia peringkat negeri di Sungai Skudai, Johor Bahru pada Selasa.
Hasni (tengah) pada Program Sayangi Sungai sempena Hari Air Sedunia peringkat negeri di Sungai Skudai, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan Sungai Skudai sebagai tempat pembuangan sampah sarap dan ammonia daripada sisa industri dan kumbahan memberi kesan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, LRA Sultan Ismail tidak dapat membekalkan air mengikut kapisiti yang sepatutnya apabila hanya mampu merawat sebanyak 53 juta liter air sehari sahaja disebabkan pencemaran sungai berkenaan.

"Sebelum ini LRA Sultan Ismail mampu merawat sebanyak 227 juta liter air sehari, tetapi akibat pencemaran yang berlaku, LRA itu hanya mampu merawat 53 juta liter air kepada penduduk di Johor Bahru.

"Situasi ini menjadi lebih buruk sekiranya berlaku musim kemarau. Kawasan di Johor Bahru akan menerima sumber air dari LRA Sultan Ismail secara berjadual," katanya selepas merasmikan Program Sayangi Sungai sempena Hari Air Sedunia peringkat negeri di Sungai Skudai di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Ranhill SAJ, Nor Ifuan Md Nor.

Sungai Skudai yang berkeluasan sepanjang 46 kilometer berpunca dari kaki Bukit Sedenak, Kulai dan berakhir di Selat Johor terletak di dalam kawasan Johor Bahru, Pulai dan Kulai.

Sungai Skudai merupakan sumber air utama bagi LRA Sultan Ismail yang membekalkan air terawat kepada seramai 163,250 pengguna di daerah ini.

Sementara itu, Hasni berharap agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) serta Ranhill SAJ akan bekerjasama bagi mempertingkat kapasiti LRA Sultan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sepanjang empat kilometer di Sungai Skudai akan dijadikan sebagai kawasan rekreasi dalam usaha membantu memulihara sungai terbabit.

"Kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi berkaitan akan terus memantau dan memastikan program-program pemuliharaan sungai akan diteruskan dengan jayanya.

“Sekiranya program DSK yang menelan belanja ratusan ribu ringgit ini tidak mendapat kerjasama orang ramai, malah denai itu dirosakkan, pastinya hasrat kerajaan tidak akan tercapai,” katanya.