X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket godam data Imigresen, cetak PLKS palsu tumpas

Peralatan yang dirampas dalam operasi SPRM dan Imigresen.
A
A

PUTRAJAYA - Sindiket terbesar dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit kepada hasil kerajaan akhirnya tumpas.

Seramai lima individu termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi Selasa.

Kesemua suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sejak setahun yang lalu.

Sindiket terbabit dipercayai bekerjasama dengan 'orang dalam' menggodam pangkalan data Imigresen dengan memasang transmiter bagi membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai Imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat Imigresen.

Tindakan itu merupakan pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.

Keupayaan ahli-ahli sindiket menggodam sistem komputer Imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini.

Ratusan ribu PLKS palsu dianggarkan telah dicetak oleh sindiket ini sebelum dijual pada harga antara RM6,000 hingga RM8,000.

Menurut sumber, isu berkenaan pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.

"Modus operandi sindiket ialah menggodam sistem Imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer jabatan berkenaan hasil kerjasama 'orang dalam'.

"Sindiket ini berupaya menggodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah.

"Walhal ia hasil tindakan penggodaman sistem Imigresen," katanya.

Lebih menggerunkan sindiket berkenaan berupaya membuka dan menutup semula status 'senarai hitam' atau 'red alert' individu untuk membolehkan mereka melepasi sekatan Imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu.

"Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat Imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pangkalan data imigresen," katanya.

Serbuan berjaya merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket.

"Sindiket ini dipercayai sedang beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.

"Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Tegasnya, siasatan ke atas kes itu akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk 'orang dalam' dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Azam turut memuji ketegasan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku serta memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes berkenaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!