Premis tarian separuh bogel diserbu

Antara wanita yang ditahan dalam Ops Noda malam tadi.
Antara wanita yang ditahan dalam Ops Noda malam tadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Bukan sahaja menyediakan tarian separuh bogel sambil diiringi suasana muzik yang kuat, malahan mendapat layanan gadis seksi.

Namun, kegiatan berahi sebuah pusat hiburan yang terletak di Kota Damansara, di sini, sejak empat bulan lalu akhirnya terbongkar apabila ia dihidu dan digempur sepasukan polis Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, malam tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, serbuan menerusi Ops Noda itu dijalankan kira-kira jam 11.30 malam hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, ketika serbuan, gadis pelayan pelanggan (GRO) sedang leka melayan pelanggan, malah terdapat antara gadis ini asyik menyajikan tarian tiang.

"Dalam serbuan ini, seramai 27 individu telah ditahan membabitkan 13 lelaki termasuk lima warga Bangladesh membabitkan pengurus premis, pekerja selain 14 wanita merupakan pelayan.

Antara barang yang dirampas.
Antara barang yang dirampas.

"Semakan dokumen mendapati, wanita terbabit merupakan warga Thailand berusia lingkungan 20-an," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian telah merampas resit harian, mahkota, minuman keras, pelekat, peralatan audio serta wang tunai berjumlah RM1,225.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Khaizam berkata, wanita ini menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke dalam negara. Mereka dipercayai menjadi pelayan dengan menawarkan tarian ghairah dan separuh bogel.

Katanya, pelanggan premis ini akan dilayan oleh wanita terbabit dan pada masa menyajikan gelekkan tiang.

"Pelanggan akan memberi tip serendah RM100 untuk setiap pelekat yang akan ditampal pada GRO ini. Pelanggan yang lebih tertarik dengan layanan ini juga sanggup membayar RM300 hingga RM500 untuk setiap mahkota," katanya.

"Pemeriksaan mendapati premis ini hanya mempunyai lesen perniagaan kafe, tetapi tidak memiliki lesen hiburan serta lesen minuman keras," katanya.