Naib Canselor ketiga UCSI, Datuk Dr Khalid Yusoff meninggal dunia

Datuk Dr Khalid Yussof
Datuk Dr Khalid Yussof
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Naib Canselor ketiga Universiti UCSI, Profesor Akademik Kanan, Datuk Dr Khalid Yusoff, 66, meninggal dunia di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) di sini pada Isnin.

Berita sedih pemergian Allahyarham telah dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif UCSI, Datuk Peter Ng menerusi satu kenyataan media.

“Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada Profesor Dr Khalid, Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI.

“Saya, seperti yang lain di UCSI, sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan yang saya belajar banyak dengannya sebelum ini,” katanya pada Isnin.

Menurut Peter, Allahyarham telah banyak memberi kesan mendalam terhadap pengalaman pelajar di UCSI.

Jelas Peter, beliau sendiri menguruskan kerjasama dengan Universiti Harvard yang memperkasakan pelajar perubatan dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia.

“Mari kita mengenang beliau atas semua yang beliau perjuangkan dan semoga kita mencontohi komitmen beliau dalam mencapai kecemerlangan serta fokus yang tidak goyah dalam mencipta dunia yang lebih baik.

“Semoga kita sentiasa mengingat beliau dalam apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Allahyarham Profesor Khalid telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Universiti sejak beliau menerajui Universiti UCSI pada tahun 2013 sehingga UCSI menerima pelbagai pengiktirafan akademik.

Di bawah kepimpinannya, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020.

“Malah pencapaian bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai lima bintang sebagai Universiti Matang (Mature University).

“Beliau turut membawa UCSI ke persada dunia apabila berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti dunia termasuk Universiti Harvard,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan ucapan takziah atas kehilangan besar dalam akademik Malaysia dan moto Allahyarham iaitu ‘Go Beyond; Be Profound: Make A Difference’ akan terus subur di UCSI.