Graduan perlu lengkap diri dengan kemahiran untuk masuki pasaran kerja

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dunia pekerjaan masa kini bukan hanya menuntut graduan untuk cemerlang dalam bidang akademik, tetapi mereka juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi untuk bersaing di pasaran kerja global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia ekoran penularan pandemik Covid-19, kemahiran baharu seperti kemahiran digital perlu diberi penekanan bagi membolehkan penjajaran baharu ekonomi dapat dilaksanakan.

“Lantaran itu, Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa menyokong program, agenda kemahiran dan kebolehpasaran graduan untuk meningkatkan kebolehan serta kemahiran insaniah mereka, khususnya dalam pembangunan kursus latihan digital.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pekerja digital pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) di sini pada Isnin.

Program Penjana KPT-CAP yang dilaksana dengan pelaburan RM100 juta, merupakan inisiatif kerajaan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak Covid-19.

Menerusi inisiatif ini, sejumlah 20,000 graduan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih berpeluang meningkatkan kemahiran dan mendapat penempatan pekerjaan setelah tamat program berkenaan.

Sementara itu dalam majlis yang diadakan, seramai 121 graduan dari pelbagai universiti berjaya menamatkan latihan kemahiran digital di bawah program itu yang dikelolakan General Assembly Malaysia (GA) dengan kerjasama Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program itu dilaksanakan selama tiga minggu melibatkan dua kursus iaitu Pemasaran Digital dan Analitik Data dengan sepanjang tempoh latihan peserta didedahkan dengan kemahiran digital yang memberi pengetahuan dan nilai tambah untuk mereka menyiapkan diri ke alam pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi GA Malaysia, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dalam ucapannya berkata, sehingga kini, sebanyak 20 peratus peserta yang menjalani latihan serta kursus itu telah mendapat tawaran pekerjaan, manakala selebihnya sedang melalui proses temu duga bersama syarikat pelbagai industri. - Bernama