Penjara tujuh hari, denda RM11,500 kerana sogok polis

Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku salah memberi sogokan sebanyak RM2,300 kepada seorang anggota polis pada Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Iskandar Mohd Zain, 41, yang beralamat di Kampung santong, Paka berdepan dakwaan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Dazuki Ali turut memerintahkan supaya tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Iskandar didapati memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,300 kepada seorang anggota polis yang bertugas di bilik Timbalan Ketua Polis Paka di Dungun pada 21 Februari lalu.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang disyaki sebagai orang dikehendaki kerana melakukan kesalahan lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh. manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Mohamad.

Artikel Berkaitan: