Mayat pemancing dijumpai separuh badan

Mayat lelaki dijumpai dalam keadaan separuh badan di Sungai Ladang, Sime Darby, Kampung Segaliud, Batu 34, Sandakan hari ini
Mayat lelaki dijumpai dalam keadaan separuh badan di Sungai Ladang, Sime Darby, Kampung Segaliud, Batu 34, Sandakan hari ini
A
A
A

SANDAKAN - Teka-teki kehilangan seorang pemancing lebih 13 jam terjawab selepas dia ditemui maut dalam keadaan memilukan di Sungai Ladang, Sime Darby, Kampung Segaliud, Batu 34, di sini, hari ini.

Mayat Castelo Carlos, 43, hanya dijumpai separuh badan daripada kepala hingga pinggang disyaki dibaham buaya di sekitar sungai terbabit pada pukul 4.21 petang tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar untuk menjalankan aktiviti memancing ikan di sekitar Sungai Segaliud dekat sini, kira-kira pukul 3 petang semalam.

Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan tidak pulang ke rumah dan laporan polis telah dibuat pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

"Sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kehilangan terbabit pada pukul 7.41 pagi tadi, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kinabatangan segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Seramai lima anggota dan sebuah kenderaan utiliti serta bot dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 25 kilometer daripada BPP Kinabatangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, selepas sembilan jam SAR dijalankan, mayat mangsa berjaya ditemui dalam keadaan separuh badan kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.50 petang.

Artikel Berkaitan: