Khabar gembira buat peminat Liga-M

Reezal Merican menunjukkan isyarat bagus ketika melakukan pemantauan di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. Foto FB MFL
Reezal Merican menunjukkan isyarat bagus ketika melakukan pemantauan di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. Foto FB MFL
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi perkhabaran gembira kepada peminat bola sepak tempatan apabila mengesahkan penonton boleh hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier mulai 6 dan 7 April ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan perlawanan projek perintis kemasukan penonton antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.

Situasi itu turut disokong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penyokong JDT sepanjang perlawanan, sekali gus menyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi 'lampu hijau' buat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan kemasukan penonton ke stadium.

“Apa yang berlaku hari ini (Jumaat) cukup penting kepada penganjuran liga di bawah MFL setelah sekian lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan yang terperinci dan diluluskan MKN.

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.

“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat tapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini, saya boleh katakan tiada masalah, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, beliau menyambut baik dengan apa diperkatakan Reezal Merican sambil berharap semua pengurusan pasukan bersedia bagi menerima kemasukan penonton ke stadium.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan di sini (Stadium Sultan Ibrahim) diharapkan menjadi permulaan untuk diikuti di venue-venue lain pada perlawanan ketujuh Liga Super.

Artikel Berkaitan:

“Melalui pewartaan yang membenarkan penyokong boleh masuk ke stadium mulai 1 April, MFL telah bersedia sepenuhnya dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama semua pasukan bagi membincangkan perkara ini,” ujarnya.

Berdasarkan perkembangan positif menerusi pemantauan perlawanan projek perintis, kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Premier selepas ini dibenarkan untuk kemasukan penonton.

Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada kelulusan MFL di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.