Kapal Ocean Cooper 2 tenggelam di perairan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini memaklumkan sebuah kapal pembekal, Ocean Cooper 2, tenggelam di perairan Malaysia semalam.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menerima satu laporan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan yang melaporkan sebuah kapal telah tenggelam di 3.8nm (nautical mile) tenggara Tg. Penyusop, Johor.

Menurut kementerian itu, kesemua tiga krew yang berada dalam kapal Ocean Cooper 2 ketika kejadian diselamatkan oleh kapal Jolly Rachel yang berada berhampiran.

Kementerian Pengangkutan berkata, Jabatan Laut Malaysia, selaku competent authority yang bertanggungjawab mengendalikan siasatan insiden maritim di perairan Malaysia, pada masa ini sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 334, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).

"Dalam masa yang sama, penandaan boya terhadap lokasi kejadian turut sedang dilaksanakan oleh Jabatan Laut Malaysia,” kata kementerian itu.

Pusat Komunikasi Maritim Malaysia Klang juga telah melaksanakan bantuan awal dengan memberi isyarat kecemasan atau NAVTEX (navigation telex) untuk hebahan kepada komuniti perkapalan yang berada berhampiran kawasan kejadian, katanya.

Beberapa media Singapura yang memetik kenyataan Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) sebelum ini melaporkan insiden bot karam itu berlaku antara pukul 7.00 dan 7.15 pagi di perairan Singapura berdekatan Pulau Batu Puteh.- Bernama

Artikel Berkaitan: