WUIF, TV Alhijrah lancar My #HadithTime: Rasulullah Suri Teladan

Hussamuddin (kiri) menyerahkan senaskah al-Quran kepada Ahmad Marzuk (dua dari kanan) sebagai simbolik pelancaran Program My #HadithTime Rasulullah Suri Teladan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR. Gambar kecil: Marhaini
Hussamuddin (kiri) menyerahkan senaskah al-Quran kepada Ahmad Marzuk (dua dari kanan) sebagai simbolik pelancaran Program My #HadithTime Rasulullah Suri Teladan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR. Gambar kecil: Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bekerjasama dengan TV Alhijrah bagi melancarkan program 'My #HadithTime: Rasulullah Suri Teladan' di Kompleks Karangkraf di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, My #HadithTime bersiaran sebanyak 60 episod pada musim pertama penerbitannya.

Beliau berkata, rancangan itu akan ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 5 hingga 5.30 petang bermula Khamis (hari ini).

"Sebagai permulaan, dua episod My #HadithTime akan ditayangkan serentak pada lsnin hingga Jumaat bermula 1 hingga 13 April ini.

"Bermula 2 Ramadan 1442H bersamaan 14 April 2021, orang ramai boleh terus mengikuti satu episod My #HadithTime pada hari dan masa yang sama.

"Paling istimewa, setiap minggu My #HadithTime akan menyiarkan segmen khas yang mendedahkan hadis viral tetapi tidak sahih," katanya selepas Majlis Pelancaran My #HadithTime pada Khamis.

Majlis pelancaran My #HadithTime itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Hadir sama Pengasas WUIF yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman.

Sementara itu, Marhaini berkata, program My #HadithTime merupakan kesinambungan kerjasama dengan TV Alhijrah selepas kejayaan kedua-dua belah pihak dalam menerbitkan rancangan My #QuranTime yang kini genap setahun penyiarannya pada 20 Mac lalu.

Beliau berkata, My #QuranTime yang mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Menurutnya, ini berdasarkan sumber Nielsen Media Research & Insight Digital Data bahawa My #QuranTime yang bersiaran sepanjang 365 hari telah mencatatkan 9.4 juta tontonan televisyen dan 43 juta tontonan digital.

"Apabila ummah semakin faham maksud tadabbur dan isi al-Quran, kini My#HadithTime diterbitkan untuk menambah sumber rujukan. Hadis adalan sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

"Jika al-Quran menjadi manual kehidupan, hadis menjadi jadual kehidupan kita. Hadis menjelaskan isi kandungan al-Quran yang diterjemahkan melalui Rasulullah SAW sebagai suri teladan. Hadis menjadi panduan kepada umat Islam untuk memahami hukum syarak yang diturunkan al-Quran.

"Bagaimanapun, ramai keliru dan tidak tahu hadis yang perlu dirujuk. Pihak WUlF mengambil tanggungjawab untuk memberikan kefahaman dan mendidik ummah dengan cara merujuk hadis yang betul," katanya.

Marhaini berkata, My #HadithTime menyasarkan penonton daripada golongan remaja dan dewasa.

Menurutnya, program berinteraksi dengan hadis itu akan dimulakan dengan bacaan al-Quran beserta huraian maksud umum ayat tersebut.

"Ayat al-Quran tersebut akan dihuraikan dengan satu hadis utama dan beberapa hadis sampingan," katanya.

Menurutnya, bacaan al-Quran akan dibimbing qari Wacana Al-Quran yang juga johan Tilawah Asia di Brunei 2015 serta Thailand 2016, Mohamad Husaini Mahmur.

Ia diikuti dengan kupasan hadis yang akan disampaikan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi.

"Perbincangan hadis merangkumi beberapa perkara iaitu makna umum hadis, tokoh perawi, pengajaran daripada hadis dan isu semasa berkaitan hadis.

"Ini merupakan keistimewaan My #HadithTime untuk mengajak masyarakat dalam mengenali perawi, sahabat Rasulullah SAW dengan lebih dekat.

"Edisi al-Quran Multazam terbitan Karya Bestari pula dijadikan rujukan utama dalam My #HadithTime.

"Setiap ayat dibahagikan berdasarkan tema kandungan al-Quran Multazam dan Tafsir Mau'dui oleh Dr Mustafa Muslim dan Tafsir al-Munir oleh Dr Wahbah Al-Zuhaily," katanya.

Marhaini juga berharap penonton dapat memanfaatkan pengisian My #HadithTime supaya lebih dekat dengan hadis dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan.