Pandemik Covid-19 beri peluang penjawat awam ubah cara kerja

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Perubahan landskap global dan negara berikutan pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai peluang kepada penjawat awam dalam mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah baharu yang sesuai dengan situasi semasa dan normal baharu, kata Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara itu berkata, perkhidmatan yang disampaikan memerlukan satu tindakan yang lebih tersusun dan teratur dengan tidak sekali-kali mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) di setiap peringkat.

“Di samping itu, kita sebagai penjawat awam perlu terus bersedia mendepani pelbagai cabaran walaupun di luar jangkaan dan cuba menanganinya sebaik mungkin,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Perdana Menteri pada Khamis.

Mohd Zuki berkata, perkhidmatan awam bersyukur kerana walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19, jentera pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat terus digerakkan untuk memastikan tugas mengurus negara dilaksanakan dengan sebaiknya.

Beliau mengingatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam perlu terus diperkukuh agar ia berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan produktiviti untuk kemakmuran bersama.

“Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan pemegang taruh terhadap pentadbiran sektor awam seharusnya dijadikan motivasi kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti bertunjangkan kepada perkhidmatan pintar bertaraf kelas pertama,” katanya.

Integriti serta akauntabiliti penjawat awam perlu dimantapkan dan diperkukuh secara berterusan dan ia selari dengan hasrat Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dihasilkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM), katanya.

Mohd Zuki turut mengingatkan mengenai prinsip F.A.S.T.E.R iaitu flatter, agile, streamlined, techenabled, efficient and resilient yang perlu dijadikan panduan oleh setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugasan. - Bernama

Artikel Berkaitan: