Penyeludup gelap mata, harga ketum cecah RM180 sekilogram

Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum yang berjaya dirampas oleh anggotanya di muara Kuala Jerlun pada pagi Rabu.
Mohd Zawawi (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum yang berjaya dirampas oleh anggotanya di muara Kuala Jerlun pada pagi Rabu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Harga daun ketum yang kini mencecah RM180 sekilogram (kg) di Thailand menggalakkan penyeludup berani membawa bahan terlarang itu ke negara seberang melalui jalan laut walaupun dikawal ketat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, maklumat risikan yang diterima mengesahkan harga pasaran semasa itu berbanding kira-kira RM40 sahaja di negara ini.

Menurutnya, pelaksanaan sekatan jalan raya dan larangan merentas negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan penyeludup memilih laluan laut untuk menyeludup daun ketum terutamanya di Kedah dan Perlis.

"Aktiviti penyeludupan menjadi semakin rancak melalui jalan laut berikutan pintu sempadan negara masih lagi ditutup," katanya pada sidang akhbar berhubung rampasan satu tan daun ketum di Marina Habour, Kampung Seberang Kota, Kota Kuala Kedah pada Khamis.

Jelasnya, penyeludup menjadikan Kuala Perlis sebagai kawasan pilihan kerana kedudukannya yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit ke sempadan Thailand manakala Kuala Jerlun pula kira-kira satu jam.

Mohd Zawawi berkata, pasukannya berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu tan daun ketum di kedudukan 0.3 batu nautika dari muara Kuala Jerlun menggunakan bot fiber pada jam 5.10 pagi pada Rabu.

Menurutnya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke kawasan berkenaan hasil maklumat risikan dan telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran menuju keluar dari Kuala Jerlun yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua suspek bertindak melarikan diri dengan menukar haluan dan memecut laju ke daratan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka nekad terjun ke laut dengan berenang ke kawasan paya bakau berlumpur berhampiran dan meninggalkan 90 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat kira-kira satu tan dianggarkan bernilai RM180,000," katanya.

Tambah Mohd Zawawi, semua hasil rampasan serta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM230,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,"katanya.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, sebanyak 4,860 kilogram daun ketum bernilai RM497,000 dirampas sepanjang tahun lalu.

Bagi tahun 2021 sehingga Mac, sebanyak 2,300 kg daun ketum bernilai RM 414,000 berjaya dirampas di Kedah dan Perlis.