X

Kindly register in order to view this article
!

Paling ramai lompat dalam sejarah

Selepas PRU14, sekurang-kurangnya 39 ahli Parlimen keluar atau dipecat daripada parti asal masing-masing.
A
A

SHAH ALAM - Bilangan ahli Parlimen Malaysia melompat parti selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang mencecah 39 orang adalah isyarat jelas bahawa amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan membimbangkan.

Berdasarkan senarai kedudukan terkini ahli Parlimen Malaysia disediakan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sinar Harian mengenal pasti jumlah ahli Parlimen yang melompat parti lebih 17.56 peratus daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen.

Penentuan ahli-ahli Parlimen yang dianggap melompat parti pula adalah berdasarkan tiga kriteria iaitu wakil rakyat keluar parti untuk menyertai parti lain, keluar parti bagi menjadi ahli Parlimen bebas serta bertindak menyokong blok berlawanan sebelum dipecat parti sendiri.

Angka tersebut dipercayai yang teramai dalam sejarah rekod ahli Parlimen lompat parti sejak lebih 60 tahun lalu.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan perbandingan dengan negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh dianggap sebagai negara berdepan masalah paling ramai ahli Parlimen lompat parti.

Jelas beliau, senario itu menunjukkan amalan demokrasi negara berada di landasan terburuk dengan Malaysia kini terletak pada titik terendah dalam aspek menyuburkan sistem demokrasi berparlimen.

“Sekiranya dilihat senario politik negara-negara jiran, kita tidak pernah jumpa berita ahli Parlimen Indonesia lompat parti. Kalau di negara Singapura, hampir tiada isu wakil rakyat lompat parti.

“Isu ini disebabkan undang-undang Malaysia tidak tegas dengan amalan wakil rakyat keluar parti dianggap sebagai satu kebebasan berpersatuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti perlu dipandang serius semua pihak kerana secara praktikalnya, di negara ini pengundi lebih cenderung memilih parti yang bertanding dalam sesebuah pilihan raya berbanding calon diketengahkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang Azman
Awang Azman

Komitmen 222 ahli Parlimen

Semakan Sinar Harian mendapati selain Malaysia, negara-negara lain di dunia yang turut berdepan masalah ahli Parlimen lompat parti secara kerap adalah Brazil, Itali, Romania, Ukraine, India, Filipina dan New Zealand.

Lebih menarik, di New Zealand, istilah khas bagi wakil rakyat melompat parti di negara itu adalah ‘waka-jumping’, bersamaan dengan istilah ‘katak’ yang digelarkan kepada wakil rakyat Malaysia yang melompat parti.

Sementara itu, pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang mendedahkan sejumlah 41 daripada 193 negara di seluruh dunia telah melaksanakan Akta Anti Lompat Parti berdasarkan satu kajian dibuat sekitar tahun 2009.

Jelas beliau, angka keterlibatan 41 negara yang menggubal Akta Anti Lompat Parti berkenaan menunjukkan fenomena wakil rakyat lompat parti adalah merupakan isu global yang harus ditangani melalui aspek perundangan.

“Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti melalui Enakmen Negeri seperti dilakukan Kelantan dan Pulau Pinang dilihat tidak memberi kesan positif kerana peruntukannya menyalahi (bertentangan) dengan Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal (1) (c) Perlembagaan menjadi hak setiap warga negara ‘membentuk persatuan’ yang ditafsirkan secara luas untuk meliputi hak untuk ‘menyertai atau meninggalkan’ apa-apa persatuan.

“Mana-mana undang-undang bertulis yang bertentangan dengan Fasal (1) (c) akan menjadi tidak sah dan terbatal,” katanya.

Bagi Salleh, sekiranya 222 ahli Parlimen di Malaysia komited untuk melaksanakan Akta Anti Lompat Parti, kaedah penggunaan Perkara 10 Fasal (2) (a) Perlembagaan Persekutuan bagi meluluskan akta berkenaan sebagai satu undang-undang Persekutuan boleh direalisasikan.

“Kita sendiri menjadi saksi fenomena wakil rakyat lompat parti secara berleluasa pada pasca PRU14 telah memporak-perandakan negara.

“Kesimpulannya, Akta Anti Lompat Parti tiada masalah digubal sekiranya dijadikan undang-undang Persekutuan, cuma persoalannya adakah 222 ahli Parlimen kita komited menjayakannya?” katanya.

Fenomena wakil rakyat lompat parti secara berleluasa pada pasca PRU14 telah memporak-perandakan negara.
Fenomena wakil rakyat lompat parti secara berleluasa pada pasca PRU14 telah memporak-perandakan negara.

INFO


Senarai ahli Parlimen keluar parti pasca PRU14

1. Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai-UMNO) kini sertai Bersatu

2. Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang-UMNO) kini sertai Bersatu

3. Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-UMNO) kini sertai Bersatu

4. Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli-UMNO) kini sertai Bersatu.

5. Datuk Rozman Isli (Labuan-UMNO) kini sertai Warisan

6. Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut-UMNO) kini sertai Bersatu

7. Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor-UMNO) kini sertai Bersatu

8. Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah-UMNO) kini sertai Bersatu

9. Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing-UMNO) kini sertai Bersatu

10. Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-UMNO) kini sertai Bersatu

11. Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu-UMNO) kini sertai Bersatu

12. Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort-UMNO) kini sertai Bersatu

13. Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran-UMNO) kini sertai Bersatu

14. Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat-UMNO) kini sertai Bersatu

15. Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran-UMNO) kini sertai Bersatu

16. Yamani Hafez Musa (Sipitang-UMNO) kini sertai Bersatu

17. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak-PKR) kini sertai Bersatu

18. Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang-PKR) kini sertai Bersatu

19. Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota-PKR) kini sertai Bersatu

20. Baru Bian (Selangau-PKR) kini menyertai Parti Sarawak Bersatu

21. Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak-PKR) kini sertai Bersatu

22. Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal-PKR) kini sertai Bersatu

23. Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat-PKR) kini sertai Bersatu

24. Datuk Seri Dr R Santhara Kumar (Segamat-PKR) kini sertai Bersatu

25. Ali Biju (Seratok-PKR) kini menyertai Bersatu

26. Willie Mongin (Puncak Borneo-PKR) kini sertai Bersatu

26. Jonathan Yasin (Ranau-PKR) kini sertai Bersatu

28. Datuk Masir Kujat (Sri Aman-GPS) keluar dari Parti Rakyat Sarawak kini sertai Parti Sarawak Bersatu (PSB)

29. Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas setelah dipecat parti.

30. Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas setelah dipecat parti.

31. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas setelah dipecat parti.

32. Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas setelah dipecat parti.

33. Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas setelah dipecat parti

34. Datuk Seri Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading-Bersatu) kini jadi ahli Parlimen Bebas

35. Tambat @ Jugah Muyang (Lubok Antu-PKR) kini jadi ahli Parlimen menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

36. Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis-UMNO) keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas. Bagaimanapun, status Anifah sebagai ahli Parlimen terbatal susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangannya pada PRU14.

37. Larry Sng (Julau-PKR) kini jadi ahli Parlimen Bebas sokong PN

38. Steven Choong (Tebrau-PKR) kini jadi ahli Parlimen Bebas sokong PN

39. Datuk Seri Xavier Jayakumar (Kuala Langat-PKR) kini jadi ahli Parlimen Bebas sokong PN


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!