Operator kilang berlagak seperti marsyal ditahan polis

Suspek menghalang jentera bomba semasa dalam keadaan kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, Johor Bahru. - Foto: Tangkap layar video viral, gambar kecil: ACP Mohd Padzli
Suspek menghalang jentera bomba semasa dalam keadaan kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, Johor Bahru. - Foto: Tangkap layar video viral, gambar kecil: ACP Mohd Padzli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang operator kilang ditahan polis kerana berlagak seperti marsyal sehingga menghalang jentera bomba di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, di sini, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, tindakan itu adalah susulan daripada video yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, yang menunjukkan sebuah kenderaan menghalang pergerakan jentera bomba semasa kecemasan.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira milik suspek dipercayai digunakan seperti dalam video tular di laman sosial.

“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada 27 April 2019 dan tular di media sosial pada 27 Mac 2021. Berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, kereta itu menghalang jentera bomba semasa dalam keadaan kecemasan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bakar Batu, Johor Bahru.

“Suspek mengambil kesempatan dengan memandu di hadapan jentera bomba dengan mengeluarkan isyarat tangan terhadap kenderaan lain untuk membuka laluan tanpa kuasa yang sah, sedangkan jentera bomba berada di belakang kenderaan suspek, sekali gus membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain dengan melanggar lampu merah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Kata beliau, hasil ujian saringan awal urin ke atas suspek didapati negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, Rule 09(2) LN 166/59 kerana tidak memberi laluan kenderaan bomba semasa kecemasan dan Rule 17 LN 167/59 kerana tidak mematuhi lampu merah.

Artikel Berkaitan:

“Kita memohon kerjasama daripada pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama memberi laluan kepada kenderaan bomba dan ambulans dalam hal-hal kecemasan,” katanya.