X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada penguatkuasaan punca perokok kembali berani

Poster larangan merokok dipasang di kedai dan restoran tetapi masih ada yang tidak patuh dengan peraturan ditetapkan.
A
A

IPOH - Kesedaran terhadap peraturan larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka masih lagi rendah meskipun mereka mengetahui boleh dikenakan denda.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada individu tanpa gentar menyalakan api rokok ketika 'membawang' bersama rakan tanpa mengendahkan ketidakselesaan yang dialami pengunjung lain yang sedang menikmati makanan.

Situasi itu sering berlaku di warung yang buka meja di kaki lima selain mereka menganggap tiada pegawai penguat kuasa yang hadir untuk ambil tindakan.

Pengunjung, Zulfakhri Zulkifli, 22, berkata, dia yang sering makan luar kadangkala berhadapan dengan mereka yang merokok tanpa 'sengaja'.

"Mereka menyalakan rokok tetapi akan meletakkan di bawah meja agar tidak disedari tetapi asap itu yang membuatkan pengunjung lain tidak selesa.

"Saya bukan perokok merasakan bau asap itu busuk dan buatkan saya pening. Seringkali saya menegur tetapi tidak diendahkan langsung. Ada juga yang cepat-cepat padamkan api rokok," katanya.

Katanya, perokok tegar berani melakukannya apabila jarang lagi mendengar berita orang ramai didenda di tempat makan, tidak seperti tindakan penguatkuasaan tahun lalu.

"Pegawai kesihatan giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan tahun lalu dan mereka dapat dilihat di mana-mana sahaja menyebabkan perokok tidak berani.

"Kini apabila sunyi daripada tindakan, mereka tidak endah malah, pemilik kedai pun tidak pula melarang pelanggannya walaupun ia berlaku di depan mata," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Zaki Effendy berkata, pelanggan ada yang bertindak memboikot gerainya selepas ditegur untuk tidak merokok di kawasan medan selera.

"Teguran diberi apabila pelanggan berhampiran tidak selesa dan ada yang mengandung. Ada yang boleh terima dan ada yang terus tidak datang lagi.

"Kesedaran merokok itu bergantung pada diri sendiri. Teguran sudah dibuat dan menggantung poster larangan merokok. Masih ada yang sambil lewa," katanya.

Katanya, jika penguatkuasaan larangan merokok kembali dilaksanakan, ia memberi keselesaan kepada orang ramai.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!